free buat blog
JABATAN MINERAL & GEOSAINS KELANTAN, WISMA PERSEKUTUAN, TINGKAT 3, JALAN BAYAM, 15658 KOTA BHARU, KELANTAN TEL:09-7411300 FAX: 09-741308 EMEL: jmgkel@jmg.gov.my

08 Mei 2012

MAJLIS MERAIKAN KEHADIRAN KETUA UNIT MINERAL BERLOGAM BARU DAN MAJLIS PERTUKARAN ENCIK HAMDAN SEBAGAI TPSM JMG KELANTAN KE JMG KEDAH

Pada 30 April 2012 yang lalu satu majlis jamuan telah diadakan bagi meraikan kehadiran seorang pegawai baru iaitu Encik John Joseph Jinap dari JMG Serawak. Beliau telah dinaikkan pangkat dari Gred C41 kepada C44 , berasal dari Serawak menggantikan Encik Hamdan Bin Ariffin yang akan bertukar ke JMG Kedah/P.Pinang/Perlis sebagai TPSM.

Majlis dilakukan secara serentak bagi meraikan mereka berdua. Sesi pengucapan dan pengenalan juga telah berlangsung dalam majlis perhimpunan bulanan bil 4/2012 di bilik mesyuarat Felspar. Di dalam majlis ini juga, Kelab Sukan dan Kebajikan JMG Kelantan telah menyampaikan cenderahati kepada Encik Hamdan sebagai kenangan-kenangan..

08 April 2012

SKALA MASA GEOLOGI & SEJARAH KEHIDUPAN BUMI

04 April 2012 (Selasa) , Satu ceramah teknikal telah diadakan dan disempurnakan oleh Encik Ahmad Rosli Bin Othman Pegawai Geologi Kejuruteraan. Beliau telah menerangkan tentang sejarah-sejarah bumi yang telah berusia 4.6juta tahun.
Perubahan rupabentuk permukaan bumi dari 4.6 juta tahun sehingga kini
             
Skala masa Geologi

Digunakan oleh ahli geologi untuk merujuk kepada suatu masa dan peristiwa yang terjadi sepanjang sejarah bumi. Masa geologi bumi disusun menjadi beberapa unit menurut peristiwa yang terjadi pada tiap tempoh.

Dua bahagian utama

                                      Prekambria  -  bumi dengan hidupan mudah (alga, bakteria)
                                      Phanerozoik -  bumi dengan hidupan kompleks

  


Hidupan di sepanjang sejarah bumi
 

Dlm 4.6 billion tahun, bumi mengalami berbagai siri / peristiwa geologi dan perubahan biologi.
Hidupan bermula pd 3.8 billion tahun lampau oleh kemunculan satu sel  protoplasma 
(prokaryotspt bakteria dan alga.
Manakala Multisel (eukaryot) mula muncul pada 2.1 billion tahun.
Evolusi hidupan pula bermula pada 570 juta tahun dengan artropod (trilobit),  ikan (530 juta 
tahun), tumbuhan daratan (475 juta tahun), hutan (385 juta tahun), mamalia (200 juta tahun), 
homo sapiens (200,000 tahun).
Kewujudan manusia – 0.004% dr sejarah bumi.

Bumi Malaysia mempunyai fosil hidupan Gondwana (Kedah-Perlis-Selangor) dan fosil Tethys (Kelantan, Pahang, N9).

 
 “Dan Allah telah menciptakan semua jenis haiwan dari air, maka sebagian dari haiwan itu ada yang berjalan di atas perutnya dan sebagian berjalan dengan dua kaki, sedang sebagian (yang lain) berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu”(S.24 An-Nur 45).


05 Mac 2012

Hari IT JMG Kelantan Bil. 1/2012


Hari IT JMG Kelantan bil. 1 bagi tahun 2012 telah diadakan pada 1 Mac 2012 bertempat di Bilik Mesyuarat Feldspar, JMG Kelantan. Pengisian untuk hari IT tersebut telah dipenuhi dengan bengkel bertajuk ' Kaedah dan Pengendalian Fail PDF' yang disampaikan oleh En. Ahmad Rosli Othman.




Dalam bengkel ini, kakitangan JMG Kelantan didedahkan mengenai kaedah penggunaan fail pdf seperti penukaran fail format Word/Excel kepada format PDF, software-sotfware yang digunakan, penyuntingan fail-fail PDF dan meletakkan katalaluan bagi fail-fail sulit. Bengkel ini dibuat selaras dengan keperluan semasa di mana kebanyakan dokumen-dokumen, laporan-laporan teknikal dan pekeliling-pekeliling diurus dalam format pdf.




Bengkel ini juga melibatkan latihan hand-on kepada kakitangan JMG Kelantan. Bengkel ini juga turut dihadiri oleh empat orang pelajar latihan industri dari UMK. Semoga dengan terlaksananya bengkel ini, dapat meningkatkan pengetahuan kakitangan JMG Kelantan dalam bidang IT serta memudahkan urusan-urusan harian di pejabat.


09 Januari 2012

Lawatan ke telaga mengeluarkan gas, Lundang, K.Bharu.

JMG Kelantan telah melakukan satu lawatan tapak ke Kg. Aman, Mukim Lundang, K.Bharu terhadap sebuah telaga yang mengeluarkan gas metana. Lawatan adalah susulan dari laporan akhbar Sinar Harian pada 7 Januari yang melaporkan berlakunya letupan apabila kerja-kerja pengorekkan telaga air di salah sebuah rumah penduduk di kampung tersebut sedang dijalankan apabila mencapai kedalaman 7m. Difahamkan bahawa kerja-kerja pengorekkan telah dilakukan pada 2 Januari lalu di mana satu letupan gas telah berlaku dan masih mengeluarkan gas sehingga 6 Januari.


Hasil dari penelitian sampel lubang telaga, didapati bahawa pada kedalaman 1-4 meter, sampel adalah terdiri daripada lapisan lumpur (clay), 4-7 meter lapisan lumpur berkarbon dan lapisan berpasir pada kedalaman 7m. Pereputan bahan organik telah menyumbang terhadap penghasilan gas metana yang terperangkap di bawah lapisan lumpur. Gas tersebut terkumpul dalam poket-poket kecil di dalam lapisan pasir dan mempunyai tekanan tinggi. Apabila poket tersebut ditebuk, gas tersebut dibebaskan bersama-sama pasir (sehingga 5 m ke udara). Poket bergas tersebut adalah bersifat tempatan. Gas metana akan habis dengan sendirinya apabila kesemua gas dibebaskan (selalunya sehingga 2-4 hari). Kejadian ini biasa berlaku di kawasan enapan lanar seperti Kota Bharu dan Pasir Mas yang berada dalam Formasi Simpang. Enapan lanar yang terbentuk sejak Awal hingga Tengah Plieostocene (2-1.6 juta tahun lampau) telah mengenapkan sedimen lumpur dan pasir bersama-sama serpihan tumbuhan-tumbuhan di persekitaran daratan berhampiran delta sungai yang tidak dipengaruhi oleh pasang surut air laut.

Kejadian yang sama pernah berlaku di Kg. Kubang Chetok, Pasir Mas pada tahun 2004 dan di Kg. Simpol, Pasir Mas pada tahun 2006. Terdapat juga kejadian yang sama berlaku di Kg. Macang, Terengganu baru-baru ini.







31 Oktober 2011

Kerja Lapangan Unit Pengurusan Maklumat JMG Kelantan

Satu kerja lapangan atas tujuan pengemaskinian peta jalanraya di Gua Musang telah dijalankan pada 21 & 22 Oktober 2011 lalu. Pasukan kerja lapangan yang melibatkan 3 orang Juruteknik JMG Kelantan ini diketuai sendiri oleh En. Muhammad Umar bin Sarimal selaku Ketua Unit Pengurusan Maklumat (KUPM). Peralatan Geographical Positioning System (GPS) digunakan untuk merekodkan tracks dan waypoints di lapangan. Data tersebut kemudiannya dipindahkan ke dalam komputer melalui perisian MapSource. Seterusnya, perisian DNR Garmin digunakan untuk menukarkan data tersebut kepada shapefile di dalam ArcMap.

Selain itu, Juruteknik juga diberikan pendedahan tentang hubungkait di antara simbol-simbol geologi di atas peta dan kedudukan sebenarnya di lapangan. Mudah-mudahan dengan sedikit ilmu dan kemahiran yang mereka perolehi bisa meningkatkan kecekapan dan keyakinan mereka di dalam menjalankan tugasan pada masa akan datang. Setelah habis bekerja, kami menggunakan baki masa yang ada untuk mengunjungi tempat-tempat menarik untuk menenangkan fikiran dan meluaskan pandangan melihat tanda-tanda kebesaran Allah di dalam ciptaan-ciptaanNya. Alhamdulillah! Syabas kepada Pn. Haliza binti Yusoff, En. Mohd. Rafee bin Wook dan Pn. Nurina binti Jusoh.

Hari pertama, melalui jalanraya pekan Gua Musang
sehingga ke sempadan Kelantan-Terengganu. Singgah sebentar di
Santuari Gajah, Sungai Ketiar, Terengganu.

Hari Kedua, melalui jalanraya pekan Gua Musang sehingga
ke sempadan Kelantan-Pahang. Singgah sebentar di Gunung Ayam dan
Mata Air Panas (HS 11).

18 Oktober 2011

Bahasa Melayu wajib digunakan dalam urusan rasmi kerajaan

DURIAN TUNGGAL: Semua penjawat awam diwajib menggunakan bahasa kebangsaan dalam segala urusan rasmi dan pentadbiran kerajaan termasuk ketika bermesyuarat, surat-menyurat atau seminar.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Kabinet bersetuju dengan keputusan itu bagi memantapkan peranan bahasa Melayu selain memperkasakannya sebagai bahasa ilmu.

"Bagi memastikan arahan ini dipatuhi, Pekeliling Perkhidmatan berkaitan Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam akan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam," katanya ketika melancarkan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat kebangsaan 2011 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini, semalam.

Beliau berkata, sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan adalah sebahagian daripada rantaian perjuangan yang panjang dalam memartabatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan di negara ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut meminta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memainkan peranan penting memperkasakan bahasa kebangsaan dalam segala urusan syarikat.

“GLC sewajarnya mempelopori usaha menyokong agenda nasional untuk memartabatkan bahasa kebangsaan dalam bidang berkaitan perbankan, kewangan, perdagangan, perniagaan, pembuatan dan lain-lain perkhidmatan,” katanya.
Katanya, Malaysia wajar mencontohi sikap beberapa negara maju dan sedang berkembang maju yang tidak meminggirkan bahasa kebangsaan masing-masing, meskipun masih mementingkan penguasaan bahasa Inggeris.

Malah, katanya, daripada lapan ekonomi gergasi dunia iaitu negara G7, dan China, hanya tiga negara iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada yang rakyatnya berbahasa Inggeris. Rakyat Kanada juga sebahagiannya berbahasa Perancis manakala di United Kingdom sebahagian rakyatnya berbahasa Welsh, Scottish dan Irish.

“Di Brazil, Russia, India dan China (BRIC) iaitu negara yang berada pada tahap kemajuan ekonomi paling rancak, hanya India tidak mengekalkan bahasa sendiri. Kebanyakan negara Nordik yang maju, juga mengekalkan bahasa masing-masing.

“Daripada empat negara Ekonomi Perindustrian Baru Asia Timur, hanya Singapura tidak mengekalkan bahasa ibunda. Jika kita teliti perkembangan negara-negara berkenaan, kita dapati bahasa Inggeris adalah bahasa penting tetapi bukanlah satu-satunya bahasa yang menjamin kemajuan.

“China tidak menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikannya semata-mata kerana mahu meraih laba globalisasi. Mereka menyanjungi bahasa kebangsaan mereka dan menghormati bahasa kebangsaan negara lain,” katanya.

Sempena majlis itu, Pengarah Pusat Pengajian Melayu Universiti Pengajian Bahasa-Bahasa Asing Beijing (BFSU) China, Profesor Wu Zongyu dianugerahkan Tokoh Pejuang Bahasa Melayu Antarabangsa sekali gus menerima hadiah wang tunai RM50,000, watikah penghormatan negara dan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Hadir sama Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin; Exco kerajaan negeri mewakili Ketua Menteri, Datuk Gan Tian Loo dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz.

Muhyiddin juga mengumumkan penyediaan dana kerajaan menerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebanyak RM2 juta untuk menggalakkan penerbitan buku ilmiah sains dan teknologi bertaraf ilmu tinggi dalam bahasa Melayu.

Setiap penulis yang menghasilkan buku jenis berkenaan yang diterbitkan oleh DBP akan menerima ganjaran sebanyak RM20,000 selain bayaran royalti yang biasa diterima. DBP akan menentukan karya yang layak diterbitkan berdasarkan manuskrip dihantar dan memberi ganjaran kepada penulis berjaya.

Sementara itu, Rais berkata, menteri, timbalan menteri serta pemimpin pada peringkat negeri digalak bertutur dalam bahasa Melayu ketika menyampaikan ucapan di samping berusaha memberi pesanan ringkas mengenai kepentingan masyarakat mempertahankannya sebagai bahasa rasmi negara. Sumber dari Berita Harian, 14 Oktober 2011

12 Oktober 2011

Lawatan TKP Operasi, Pengarah PPO & KPP (Unit Aplikasi GIS & Kartografi) Ke JMG Kelantan 2011

JMG KELANTAN, 28 September (Rabu) - Pada hari ini JMG Kelantan telah dilawati oleh TKP Operasi, Tuan Haji Mohammed Hatta Bin Abdul Karim; Pengarah  Pelaksana & Penyelarasan Operasi (PPO), Tuan Haji Wahid Bin Abdul Rahman bersama Ketua Penolong Pengarah Unit Aplikasi GIS & Kartografi, Tuan Haji Mohd Zulkiflee Bin Che Soh. Ketibaan mereka disambut oleh Tuan Pengarah, Timbalan-Timbalan Pengarah dan para pegawai JMG Kelantan. Bersempena dengan lawatan itu, satu perbincangan ringkas telah diadakan di Dewan Gunasama Wisma Persekutuan. Perbincangan tersebut berkisar tentang perkembangan projek pembangunan JMG Kelantan, perkongsian perkembangan semasa JMG Malaysia oleh TKP Operasi dan dialog bersama warga JMG Kelantan.

Detik-detik ketika berada di dalam Bilik Mesyuarat Gunasama, Wisma Persekutuan

 Jamuan makan tengahari dan pemantauan ke setiap unit oleh TKP (Operasi), Pengarah PPO dan Tuan Haji Mohd Zulkiflee, dimulai dengan Unit Pengurusan Maklumat.

Lawatan ke Loji Air Wakaf Bharu

Meninjau Tapak Telaga Tiub di Beoh, Bachok

Melawat tapak bangunan Pejabat JMG Kelantan baru di Tunjong

Pihak JMG Kelantan mengucapkan terima kasih di atas lawatan tersebut. Semoga berjumpa lagi pada masa akan datang.

11 Oktober 2011

Tidur Dalam Ribut

Pada hari Selasa, 5 Oktober, saya telah mempengerusikan mesyuarat MSC Malaysia Flagship Coordination Committee atau FCC, mengenai kemajuan projek-projek ICT Kerajaan seperti E-Government, Smart School, Telehealth dan sebagainya.

Pada akhir mesyuarat, Urus setia telah membentangkan FCC versi 2.0 mengenai hala tuju Jawatankuasa tersebut pada masa hadapan supaya lebih mantap serta selari dengan aspirasi dan hasrat kerajaan. Namun, saya telah mencabar Urus setia serta ahli mesyuarat – mengapa FCC 2.0?; mengapa tidak FCC 10.0? Adalah amat penting bagi kita merancang mengenai perkara-perkara yang lebih jauh ke masa hadapan dan bawanya ke hari ini, iaitu fikir dan laksanakannya sekarang – baik dalam peranan kita di dalam jawatankuasa seperti FCC mahupun sebagai penjawat awam mahupun sebagai ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Pelukis terkemuka dunia, Leornardo Da Vinci, pada tahun 1480 telah mula melukis mengenai kapal terbang. Beliau mempunyai lebih 100 buah lukisan yang melakarkan pemikiran beliau mengenai mesin yang boleh membawa manusia untuk “terbang”. Sebagaimana kita ketahui, penerbangan pertama yang berjaya dilakukan oleh manusia ialah pada 17 Disember 1903 oleh Orville Wright, iaitu lebih 400 tahun setelah Leornardo Da Vinci mula melukis mengenai penerbangan manusia. Malah, helikopter yang kita lihat pada hari ini adalah berasaskan kepada reka bentuk yang dilakarkan oleh Leonardo da Vinci di dalam salah sebuah lukisannya yang dinamakan Ornithopter.

Begitu juga Jules Verne, penulis science fiction yang tidak asing lagi, pada tahun 1863 telah menulis sebuah novel bertajuk “Paris in the Twentieth Century”. Novel tersebut mengisahkan seorang pemuda yang tinggal di dalam sebuah bangunan pencakar langit, perjalanan menaiki kereta api berkelajuan tinggi, kereta yang berkuasa gas, serta jaringan komunikasi seluruh dunia. Namun, penerbit buku-buku beliau pada masa itu, mencadangkan supaya Verne menunggu 20 tahun lagi untuk menerbitkan bukunya. Verne menyimpan manuskripnya itu di dalam sebuah peti besi. Lebih 120 tahun kemudian, pada tahun 1989 seorang cicit beliau terjumpa manuskrip tersebut, dan pada tahun 1994 buku tersebut akhirnya diterbitkan. Kalau saudara-saudari masih ingat, pada sekitar tahun 1993 dan 1994, masa buku beliau diterbitkan, Internet baru sahaja mula dikenali oleh masyarakat dunia sebagai saluran komunikasi penting, sedangkan Jules Verne telah pun berfikir mengenainya pada tahun 1863.

Ahead of the curve
Bertitik tolak dari cerita-cerita tersebut, cuba kita bayangkan apa yang dihasratkan oleh kerajaan dan rakyat terhadap peranan kita sebagai penjawat awam. Bagaimana kita lihat peranan kita 20 tahun dari sekarang, atau seperti di dalam tulisan Jules Verne, 100 tahun dari sekarang. Seterusnya, kita “fast forward” dan laksanakannya pada hari ini juga. Tidak perlu tunggu 20 tahun atau 100 tahun lagi untuk merealisasikannya. Dengan cara ini, pastinya kita akan sentiasa berada di hadapan keluk atau “ahead of the curve” aspirasi dan harapan stakeholders kita serta aspirasi dan harapan sendiri.

Asas utama kepada Program Transformasi Ekonomi yang sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan pada masa ini, ialah sebuah sektor swasta yang cergas bagi menarik lebih banyak pelaburan, mewujudkan pekerjaan nilai tinggi, dan menempatkan Malaysia, negara kita di pasaran global untuk memacu pertumbuhan pendapatan tinggi yang berkekalan. Bagi menjayakan ini sokongan daripada sektor awam yang juga berprestasi tinggi adalah amat penting. Mari kita sama-sama fikirkan apakah ciri-ciri yang perlu ada di dalam sektor awam yang berprestasi tinggi? Pastinya yang paling utama adalah integriti; disiplin yang tinggi; bersih – bukan dari aspek fizikal sahaja, malah lebih penting termasuk juga tatalaku; berani; dan kompeten.

Pada hari Sabtu dan Ahad lepas, saya menerima delegasi dari Singapura sempena Malaysia-Singapore Joint Seminar and Civil Service Games. Rata-rata umur Setiausaha Tetap mereka, iaitu setara dengan Ketua Setiausaha Kementerian-Kementerian kita, adalah di dalam lingkungan umur empat puluhan sahaja. Umur rakan sejawat saya, iaitu Peter Ong, Head of Civil Service of Singapore adalah 50 tahun sahaja. Dan beliau telah menjadi Setiausaha Tetap selama lebih 10 tahun. Isu penting yang saya mahu utarakan bukanlah umur. Banyak diperkatakan akan kecekapan perkhidmatan awam Singapura. Malah diperkatakan seantero dunia bahawa pembangunan dan kemajuan Singapura hari ini disumbangkan sebahagian besarnya oleh perkhidmatan awamnya. Juga saya yakin dan percaya, yang juga diakui oleh pelbagai pihak akan sumbangan besar perkhidmatan awam kita terhadap kemajuan negara kita.

Namun demikian, mari kita cabar status quo – bagaimana kita boleh lakukan lebih baik dari sekarang, lebih baik dari masa lepas, lebih baik dari masa kegemilangan kita. Bagaimana kita boleh lakukan lebih baik dari rakan-rakan kita di Singapura. Malah, kita berusaha lakukan yang lebih baik daripada apa rakan-rakan di Singapura lakukan, supaya perkhidmatan awam kita pula menjadi bench mark bagi Singapura dan juga benchmark bagi negara-negara lain yang lebih maju di kala ini. Sering kali kita mendengar ungkapan, “input determines output and eventually outcome” ataupun “What you put into something is what you will get out of it”.

‘Have a little faith’
Begitu juga, kemasukan pegawai-pegawai yang berkualiti dan berprestasi tinggi, pastinya akan memastikan perkhidmatan awam yang turut berkualiti. Proses pemilihan pegawai-pegawai untuk berkhidmat ke dalam Perkhidmatan Awam hendaklah stringent agar mereka yang terpilih adalah betul-betul yang akan membanggakan perkhidmatan awam, tetapi lebih penting dibanggakan oleh negara kita. Pastinya pemilihan hendaklah berdasarkan merit, mereka yang mempunyai pengetahuan dan ada kemahiran, berketerampilan dan sikap yang sesuai. Ini kerana pegawai-pegawai yang dipilih pada hari ini adalah penentu hala tuju perkhidmatan awam kita, hatta negara kita dalam tempoh 30 tahun atau lebih yang akan datang.

Maka, kita semua yang berperanan mencorak masa hadapan perlu menghayati Leonardo Da Vinci dan Jules Verne, betapa pentingnya kita perlu mengunjur atau project the scenario perkhidmatan awam di tahun-tahun mendatang, tetapi lebih baik dari Leornardo Da Vinci tidak perlu menunggu beratus-ratus tahun untuk dinikmati, kita alami penambahbaikan itu di hari ini juga.

Saya amat tertarik dengan sebuah cerita “Have a Little Faith” oleh Mitch Albom. Ia mengisahkan perihal seorang pemuda mencari pekerjaan di sebuah ladang. Beliau memberikan surat sokongan kepada bakal majikannya. Di dalam surat sokongan tersebut hanya tertulis, “Dia tidur di dalam ribut”. Memandangkan beliau sangat memerlukan seorang pembantu, pemilik ladang tersebut terus mengambil pekerja itu bekerja di ladangnya. Beberapa minggu berlalu, dan pada suatu malam, ribut yang kuat datang melanda. Terkejut dengan bunyi hujan lebat serta angin yang kuat, pemilik ladang melompat keluar dari bilik tidurnya dan menjerit memanggil pemuda yang baru diupahnya beberapa minggu yang lalu, tetapi pemuda tersebut sedang tidur dengan nyenyaknya. He slept through the storm. Pemilik ladang terus berlari ke bangsal, tetapi dengan penuh hairan melihat semua haiwan peliharaan telah dikurung dengan selamat serta mempunyai makanan yang banyak. Pemilik ladang kemudiannya berlari ke ladang, dan melihat ikatan gandum yang dibalut kemas dengan kain tarpaulin serta tersusun yang amat rapinya. Beliau seterusnya ke tempat simpan makanan, didapati pintu terkunci rapat dan bijirin dalam keadaan kering dan tersimpan dengan baik. Barulah pemilik ladang tadi memahami maksud “Dia tidur di dalam ribut” atau “He sleeps in a storm”. Pada saya mesejnya amatlah mudah tetapi penting.

Ciri-ciri yang terdapat pada pemuda tadi lah yang kita inginkan sebagai pewaris perkhidmatan awam negara kita.

Tekankan aspek punishment
Seorang yang cekap dan berpengetahuan serta tahu apa yang perlu dilaksanakan. Dalam apa jua keadaan pekerja yang hebat boleh “tidur dengan nyenyak” kerana telah bersiap sedia terlebih dahulu bagi menghadapi apa jua kemungkinan. Tetapi yang lebih penting, kita yang memilih, mendidik dan mengasuh pekerja-pekerja untuk negara kita, kita akan dapat tidur dengan nyenyak dan lenanya kerana mendapat pekerja-pekerja yang boleh tidur dengan nyenyaknya. Sebelum mengakhiri ucapan, ingin saya tegaskan bahawa pengurusan modal insan yang efektif tidak tertumpu kepada aspek reward semata-mata. Aspek punishment perlu juga ditekankan, khususnya bagi anggota-anggota yang melakukan kesalahan serta menyalahi peraturan dan undang-undang sedia ada. Pada masa yang sama, ia akan juga memberi pengajaran serta iktibar kepada anggota lain agar tidak melakukan kesalahan yang boleh menjejaskan integriti serta kredibiliti perkhidmatan kita.

Dalam hubungan yang sama, perlu diwujudkan exit policy yang jelas bagi anggota-anggota yang bermasalah, yang tidak berdisiplin, mahupun mereka yang tidak menunjukkan prestasi perkhidmatan yang sepatutnya. Perkara mengenai exit policy ini telah saya bangkitkan di dalam persidangan yang sama pada tahun 2007, namun demikian pelaksanaannya mungkin boleh diperbaiki lagi.

Mungkin aspek ini perlu dikaji untuk dimantapkan lagi pelaksanaannya, mahupun mendapatkan kaedah yang terbaik bagi “melepaskan” anggota-anggota yang bermasalah dari terus berkhidmat di dalam perkhidmatan awam.

Namun demikian, sebarang tindakan yang diambil hendaklah telus dan adil bagi mengelakkan sebarang penganiayaan.



NOTA: Tan Sri Sidek Hassan adalah Ketua Setiausaha Negara. Ini adalah ringkasan ucapan beliau pada majlis penutup persidangan Suruhanjaya-Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia.