free buat blog
JABATAN MINERAL & GEOSAINS KELANTAN, WISMA PERSEKUTUAN, TINGKAT 3, JALAN BAYAM, 15658 KOTA BHARU, KELANTAN TEL:09-7411300 FAX: 09-741308 EMEL: jmgkel@jmg.gov.my

31 Oktober 2011

Kerja Lapangan Unit Pengurusan Maklumat JMG Kelantan

Satu kerja lapangan atas tujuan pengemaskinian peta jalanraya di Gua Musang telah dijalankan pada 21 & 22 Oktober 2011 lalu. Pasukan kerja lapangan yang melibatkan 3 orang Juruteknik JMG Kelantan ini diketuai sendiri oleh En. Muhammad Umar bin Sarimal selaku Ketua Unit Pengurusan Maklumat (KUPM). Peralatan Geographical Positioning System (GPS) digunakan untuk merekodkan tracks dan waypoints di lapangan. Data tersebut kemudiannya dipindahkan ke dalam komputer melalui perisian MapSource. Seterusnya, perisian DNR Garmin digunakan untuk menukarkan data tersebut kepada shapefile di dalam ArcMap.

Selain itu, Juruteknik juga diberikan pendedahan tentang hubungkait di antara simbol-simbol geologi di atas peta dan kedudukan sebenarnya di lapangan. Mudah-mudahan dengan sedikit ilmu dan kemahiran yang mereka perolehi bisa meningkatkan kecekapan dan keyakinan mereka di dalam menjalankan tugasan pada masa akan datang. Setelah habis bekerja, kami menggunakan baki masa yang ada untuk mengunjungi tempat-tempat menarik untuk menenangkan fikiran dan meluaskan pandangan melihat tanda-tanda kebesaran Allah di dalam ciptaan-ciptaanNya. Alhamdulillah! Syabas kepada Pn. Haliza binti Yusoff, En. Mohd. Rafee bin Wook dan Pn. Nurina binti Jusoh.

Hari pertama, melalui jalanraya pekan Gua Musang
sehingga ke sempadan Kelantan-Terengganu. Singgah sebentar di
Santuari Gajah, Sungai Ketiar, Terengganu.

Hari Kedua, melalui jalanraya pekan Gua Musang sehingga
ke sempadan Kelantan-Pahang. Singgah sebentar di Gunung Ayam dan
Mata Air Panas (HS 11).

18 Oktober 2011

Bahasa Melayu wajib digunakan dalam urusan rasmi kerajaan

DURIAN TUNGGAL: Semua penjawat awam diwajib menggunakan bahasa kebangsaan dalam segala urusan rasmi dan pentadbiran kerajaan termasuk ketika bermesyuarat, surat-menyurat atau seminar.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Kabinet bersetuju dengan keputusan itu bagi memantapkan peranan bahasa Melayu selain memperkasakannya sebagai bahasa ilmu.

"Bagi memastikan arahan ini dipatuhi, Pekeliling Perkhidmatan berkaitan Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam akan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam," katanya ketika melancarkan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat kebangsaan 2011 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini, semalam.

Beliau berkata, sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan adalah sebahagian daripada rantaian perjuangan yang panjang dalam memartabatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan di negara ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut meminta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memainkan peranan penting memperkasakan bahasa kebangsaan dalam segala urusan syarikat.

“GLC sewajarnya mempelopori usaha menyokong agenda nasional untuk memartabatkan bahasa kebangsaan dalam bidang berkaitan perbankan, kewangan, perdagangan, perniagaan, pembuatan dan lain-lain perkhidmatan,” katanya.
Katanya, Malaysia wajar mencontohi sikap beberapa negara maju dan sedang berkembang maju yang tidak meminggirkan bahasa kebangsaan masing-masing, meskipun masih mementingkan penguasaan bahasa Inggeris.

Malah, katanya, daripada lapan ekonomi gergasi dunia iaitu negara G7, dan China, hanya tiga negara iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada yang rakyatnya berbahasa Inggeris. Rakyat Kanada juga sebahagiannya berbahasa Perancis manakala di United Kingdom sebahagian rakyatnya berbahasa Welsh, Scottish dan Irish.

“Di Brazil, Russia, India dan China (BRIC) iaitu negara yang berada pada tahap kemajuan ekonomi paling rancak, hanya India tidak mengekalkan bahasa sendiri. Kebanyakan negara Nordik yang maju, juga mengekalkan bahasa masing-masing.

“Daripada empat negara Ekonomi Perindustrian Baru Asia Timur, hanya Singapura tidak mengekalkan bahasa ibunda. Jika kita teliti perkembangan negara-negara berkenaan, kita dapati bahasa Inggeris adalah bahasa penting tetapi bukanlah satu-satunya bahasa yang menjamin kemajuan.

“China tidak menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikannya semata-mata kerana mahu meraih laba globalisasi. Mereka menyanjungi bahasa kebangsaan mereka dan menghormati bahasa kebangsaan negara lain,” katanya.

Sempena majlis itu, Pengarah Pusat Pengajian Melayu Universiti Pengajian Bahasa-Bahasa Asing Beijing (BFSU) China, Profesor Wu Zongyu dianugerahkan Tokoh Pejuang Bahasa Melayu Antarabangsa sekali gus menerima hadiah wang tunai RM50,000, watikah penghormatan negara dan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Hadir sama Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin; Exco kerajaan negeri mewakili Ketua Menteri, Datuk Gan Tian Loo dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz.

Muhyiddin juga mengumumkan penyediaan dana kerajaan menerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebanyak RM2 juta untuk menggalakkan penerbitan buku ilmiah sains dan teknologi bertaraf ilmu tinggi dalam bahasa Melayu.

Setiap penulis yang menghasilkan buku jenis berkenaan yang diterbitkan oleh DBP akan menerima ganjaran sebanyak RM20,000 selain bayaran royalti yang biasa diterima. DBP akan menentukan karya yang layak diterbitkan berdasarkan manuskrip dihantar dan memberi ganjaran kepada penulis berjaya.

Sementara itu, Rais berkata, menteri, timbalan menteri serta pemimpin pada peringkat negeri digalak bertutur dalam bahasa Melayu ketika menyampaikan ucapan di samping berusaha memberi pesanan ringkas mengenai kepentingan masyarakat mempertahankannya sebagai bahasa rasmi negara. Sumber dari Berita Harian, 14 Oktober 2011

12 Oktober 2011

Lawatan TKP Operasi, Pengarah PPO & KPP (Unit Aplikasi GIS & Kartografi) Ke JMG Kelantan 2011

JMG KELANTAN, 28 September (Rabu) - Pada hari ini JMG Kelantan telah dilawati oleh TKP Operasi, Tuan Haji Mohammed Hatta Bin Abdul Karim; Pengarah  Pelaksana & Penyelarasan Operasi (PPO), Tuan Haji Wahid Bin Abdul Rahman bersama Ketua Penolong Pengarah Unit Aplikasi GIS & Kartografi, Tuan Haji Mohd Zulkiflee Bin Che Soh. Ketibaan mereka disambut oleh Tuan Pengarah, Timbalan-Timbalan Pengarah dan para pegawai JMG Kelantan. Bersempena dengan lawatan itu, satu perbincangan ringkas telah diadakan di Dewan Gunasama Wisma Persekutuan. Perbincangan tersebut berkisar tentang perkembangan projek pembangunan JMG Kelantan, perkongsian perkembangan semasa JMG Malaysia oleh TKP Operasi dan dialog bersama warga JMG Kelantan.

Detik-detik ketika berada di dalam Bilik Mesyuarat Gunasama, Wisma Persekutuan

 Jamuan makan tengahari dan pemantauan ke setiap unit oleh TKP (Operasi), Pengarah PPO dan Tuan Haji Mohd Zulkiflee, dimulai dengan Unit Pengurusan Maklumat.

Lawatan ke Loji Air Wakaf Bharu

Meninjau Tapak Telaga Tiub di Beoh, Bachok

Melawat tapak bangunan Pejabat JMG Kelantan baru di Tunjong

Pihak JMG Kelantan mengucapkan terima kasih di atas lawatan tersebut. Semoga berjumpa lagi pada masa akan datang.

11 Oktober 2011

Tidur Dalam Ribut

Pada hari Selasa, 5 Oktober, saya telah mempengerusikan mesyuarat MSC Malaysia Flagship Coordination Committee atau FCC, mengenai kemajuan projek-projek ICT Kerajaan seperti E-Government, Smart School, Telehealth dan sebagainya.

Pada akhir mesyuarat, Urus setia telah membentangkan FCC versi 2.0 mengenai hala tuju Jawatankuasa tersebut pada masa hadapan supaya lebih mantap serta selari dengan aspirasi dan hasrat kerajaan. Namun, saya telah mencabar Urus setia serta ahli mesyuarat – mengapa FCC 2.0?; mengapa tidak FCC 10.0? Adalah amat penting bagi kita merancang mengenai perkara-perkara yang lebih jauh ke masa hadapan dan bawanya ke hari ini, iaitu fikir dan laksanakannya sekarang – baik dalam peranan kita di dalam jawatankuasa seperti FCC mahupun sebagai penjawat awam mahupun sebagai ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Pelukis terkemuka dunia, Leornardo Da Vinci, pada tahun 1480 telah mula melukis mengenai kapal terbang. Beliau mempunyai lebih 100 buah lukisan yang melakarkan pemikiran beliau mengenai mesin yang boleh membawa manusia untuk “terbang”. Sebagaimana kita ketahui, penerbangan pertama yang berjaya dilakukan oleh manusia ialah pada 17 Disember 1903 oleh Orville Wright, iaitu lebih 400 tahun setelah Leornardo Da Vinci mula melukis mengenai penerbangan manusia. Malah, helikopter yang kita lihat pada hari ini adalah berasaskan kepada reka bentuk yang dilakarkan oleh Leonardo da Vinci di dalam salah sebuah lukisannya yang dinamakan Ornithopter.

Begitu juga Jules Verne, penulis science fiction yang tidak asing lagi, pada tahun 1863 telah menulis sebuah novel bertajuk “Paris in the Twentieth Century”. Novel tersebut mengisahkan seorang pemuda yang tinggal di dalam sebuah bangunan pencakar langit, perjalanan menaiki kereta api berkelajuan tinggi, kereta yang berkuasa gas, serta jaringan komunikasi seluruh dunia. Namun, penerbit buku-buku beliau pada masa itu, mencadangkan supaya Verne menunggu 20 tahun lagi untuk menerbitkan bukunya. Verne menyimpan manuskripnya itu di dalam sebuah peti besi. Lebih 120 tahun kemudian, pada tahun 1989 seorang cicit beliau terjumpa manuskrip tersebut, dan pada tahun 1994 buku tersebut akhirnya diterbitkan. Kalau saudara-saudari masih ingat, pada sekitar tahun 1993 dan 1994, masa buku beliau diterbitkan, Internet baru sahaja mula dikenali oleh masyarakat dunia sebagai saluran komunikasi penting, sedangkan Jules Verne telah pun berfikir mengenainya pada tahun 1863.

Ahead of the curve
Bertitik tolak dari cerita-cerita tersebut, cuba kita bayangkan apa yang dihasratkan oleh kerajaan dan rakyat terhadap peranan kita sebagai penjawat awam. Bagaimana kita lihat peranan kita 20 tahun dari sekarang, atau seperti di dalam tulisan Jules Verne, 100 tahun dari sekarang. Seterusnya, kita “fast forward” dan laksanakannya pada hari ini juga. Tidak perlu tunggu 20 tahun atau 100 tahun lagi untuk merealisasikannya. Dengan cara ini, pastinya kita akan sentiasa berada di hadapan keluk atau “ahead of the curve” aspirasi dan harapan stakeholders kita serta aspirasi dan harapan sendiri.

Asas utama kepada Program Transformasi Ekonomi yang sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan pada masa ini, ialah sebuah sektor swasta yang cergas bagi menarik lebih banyak pelaburan, mewujudkan pekerjaan nilai tinggi, dan menempatkan Malaysia, negara kita di pasaran global untuk memacu pertumbuhan pendapatan tinggi yang berkekalan. Bagi menjayakan ini sokongan daripada sektor awam yang juga berprestasi tinggi adalah amat penting. Mari kita sama-sama fikirkan apakah ciri-ciri yang perlu ada di dalam sektor awam yang berprestasi tinggi? Pastinya yang paling utama adalah integriti; disiplin yang tinggi; bersih – bukan dari aspek fizikal sahaja, malah lebih penting termasuk juga tatalaku; berani; dan kompeten.

Pada hari Sabtu dan Ahad lepas, saya menerima delegasi dari Singapura sempena Malaysia-Singapore Joint Seminar and Civil Service Games. Rata-rata umur Setiausaha Tetap mereka, iaitu setara dengan Ketua Setiausaha Kementerian-Kementerian kita, adalah di dalam lingkungan umur empat puluhan sahaja. Umur rakan sejawat saya, iaitu Peter Ong, Head of Civil Service of Singapore adalah 50 tahun sahaja. Dan beliau telah menjadi Setiausaha Tetap selama lebih 10 tahun. Isu penting yang saya mahu utarakan bukanlah umur. Banyak diperkatakan akan kecekapan perkhidmatan awam Singapura. Malah diperkatakan seantero dunia bahawa pembangunan dan kemajuan Singapura hari ini disumbangkan sebahagian besarnya oleh perkhidmatan awamnya. Juga saya yakin dan percaya, yang juga diakui oleh pelbagai pihak akan sumbangan besar perkhidmatan awam kita terhadap kemajuan negara kita.

Namun demikian, mari kita cabar status quo – bagaimana kita boleh lakukan lebih baik dari sekarang, lebih baik dari masa lepas, lebih baik dari masa kegemilangan kita. Bagaimana kita boleh lakukan lebih baik dari rakan-rakan kita di Singapura. Malah, kita berusaha lakukan yang lebih baik daripada apa rakan-rakan di Singapura lakukan, supaya perkhidmatan awam kita pula menjadi bench mark bagi Singapura dan juga benchmark bagi negara-negara lain yang lebih maju di kala ini. Sering kali kita mendengar ungkapan, “input determines output and eventually outcome” ataupun “What you put into something is what you will get out of it”.

‘Have a little faith’
Begitu juga, kemasukan pegawai-pegawai yang berkualiti dan berprestasi tinggi, pastinya akan memastikan perkhidmatan awam yang turut berkualiti. Proses pemilihan pegawai-pegawai untuk berkhidmat ke dalam Perkhidmatan Awam hendaklah stringent agar mereka yang terpilih adalah betul-betul yang akan membanggakan perkhidmatan awam, tetapi lebih penting dibanggakan oleh negara kita. Pastinya pemilihan hendaklah berdasarkan merit, mereka yang mempunyai pengetahuan dan ada kemahiran, berketerampilan dan sikap yang sesuai. Ini kerana pegawai-pegawai yang dipilih pada hari ini adalah penentu hala tuju perkhidmatan awam kita, hatta negara kita dalam tempoh 30 tahun atau lebih yang akan datang.

Maka, kita semua yang berperanan mencorak masa hadapan perlu menghayati Leonardo Da Vinci dan Jules Verne, betapa pentingnya kita perlu mengunjur atau project the scenario perkhidmatan awam di tahun-tahun mendatang, tetapi lebih baik dari Leornardo Da Vinci tidak perlu menunggu beratus-ratus tahun untuk dinikmati, kita alami penambahbaikan itu di hari ini juga.

Saya amat tertarik dengan sebuah cerita “Have a Little Faith” oleh Mitch Albom. Ia mengisahkan perihal seorang pemuda mencari pekerjaan di sebuah ladang. Beliau memberikan surat sokongan kepada bakal majikannya. Di dalam surat sokongan tersebut hanya tertulis, “Dia tidur di dalam ribut”. Memandangkan beliau sangat memerlukan seorang pembantu, pemilik ladang tersebut terus mengambil pekerja itu bekerja di ladangnya. Beberapa minggu berlalu, dan pada suatu malam, ribut yang kuat datang melanda. Terkejut dengan bunyi hujan lebat serta angin yang kuat, pemilik ladang melompat keluar dari bilik tidurnya dan menjerit memanggil pemuda yang baru diupahnya beberapa minggu yang lalu, tetapi pemuda tersebut sedang tidur dengan nyenyaknya. He slept through the storm. Pemilik ladang terus berlari ke bangsal, tetapi dengan penuh hairan melihat semua haiwan peliharaan telah dikurung dengan selamat serta mempunyai makanan yang banyak. Pemilik ladang kemudiannya berlari ke ladang, dan melihat ikatan gandum yang dibalut kemas dengan kain tarpaulin serta tersusun yang amat rapinya. Beliau seterusnya ke tempat simpan makanan, didapati pintu terkunci rapat dan bijirin dalam keadaan kering dan tersimpan dengan baik. Barulah pemilik ladang tadi memahami maksud “Dia tidur di dalam ribut” atau “He sleeps in a storm”. Pada saya mesejnya amatlah mudah tetapi penting.

Ciri-ciri yang terdapat pada pemuda tadi lah yang kita inginkan sebagai pewaris perkhidmatan awam negara kita.

Tekankan aspek punishment
Seorang yang cekap dan berpengetahuan serta tahu apa yang perlu dilaksanakan. Dalam apa jua keadaan pekerja yang hebat boleh “tidur dengan nyenyak” kerana telah bersiap sedia terlebih dahulu bagi menghadapi apa jua kemungkinan. Tetapi yang lebih penting, kita yang memilih, mendidik dan mengasuh pekerja-pekerja untuk negara kita, kita akan dapat tidur dengan nyenyak dan lenanya kerana mendapat pekerja-pekerja yang boleh tidur dengan nyenyaknya. Sebelum mengakhiri ucapan, ingin saya tegaskan bahawa pengurusan modal insan yang efektif tidak tertumpu kepada aspek reward semata-mata. Aspek punishment perlu juga ditekankan, khususnya bagi anggota-anggota yang melakukan kesalahan serta menyalahi peraturan dan undang-undang sedia ada. Pada masa yang sama, ia akan juga memberi pengajaran serta iktibar kepada anggota lain agar tidak melakukan kesalahan yang boleh menjejaskan integriti serta kredibiliti perkhidmatan kita.

Dalam hubungan yang sama, perlu diwujudkan exit policy yang jelas bagi anggota-anggota yang bermasalah, yang tidak berdisiplin, mahupun mereka yang tidak menunjukkan prestasi perkhidmatan yang sepatutnya. Perkara mengenai exit policy ini telah saya bangkitkan di dalam persidangan yang sama pada tahun 2007, namun demikian pelaksanaannya mungkin boleh diperbaiki lagi.

Mungkin aspek ini perlu dikaji untuk dimantapkan lagi pelaksanaannya, mahupun mendapatkan kaedah yang terbaik bagi “melepaskan” anggota-anggota yang bermasalah dari terus berkhidmat di dalam perkhidmatan awam.

Namun demikian, sebarang tindakan yang diambil hendaklah telus dan adil bagi mengelakkan sebarang penganiayaan.



NOTA: Tan Sri Sidek Hassan adalah Ketua Setiausaha Negara. Ini adalah ringkasan ucapan beliau pada majlis penutup persidangan Suruhanjaya-Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia.

19 September 2011

SAMBUTAN HARI KELUARGA JMG KELANTAN TAHUN 2011

Sambutan Hari Keluarga bagi Tahun 2011 telah diadakan selama 2 hari 1 malam iaitu pada 16 dan 17 September 2011 sempena cuti hari 1Malaysia. Sambutan tersebut telah diadakan di Demong Beach Resort, Besut Terengganu.

Seperti biasa sambutan hari keluarga dimulakan dengan sesi pendaftaran ahli JMG dan keluarga. Disamping mendaftar, ahli telah diwajibkan untuk membuat tekaan benda dan pada sambutan kali ini adalah meneka biji petola. Selain itu, Ahli juga diwajibkan mencabut nombor cabutan bertuah serta diberikan cenderahati pendaftaran kepada setiap keluarga.

Setelah selesai mendaftar dan check-in ke bilik masing-masing aktiviti sukan bermula dengan acara bola tampar pantai lelaki pada sebelah petangnya. Pada keesokkan harinya acara sukan bermula dengan senaman ringan yang diketuai oleh En. Amir Mizwan sebagai ketuanya.

Antara aktiviti-aktiviti sukan yang telah dianjurkan dalam Sambutan Hari Keluarga bagi Tahun 2011 ini adalah seperti :-

Tiup Belon (kategeri kanak-kanak)
Bawa bola ping pong dalam sudu (kategeri kanak-kanak dan dewasa)
isi air dalam botol (kategeri kanak-kanak)
Musical Chairs (kategeri kanak-kanak)
Berjalan atas bata (kategeri dewasa)
Tiup gula-gula dalam tepung (kategeri kanak-kanak)
Rebut Gula-gula (kategeri kanak-kanak)
Pancing Botol (kategeri kanak-kanak)
Cucuk Manik (kategeri dewasa)
Baling Kertas Kapal Terbang (kategeri dewasa)


Selain daripada aktiviti-aktiviti sukaneka yang dijalankan tidak dilupakan juga sesi penyampaian hadiah kepada anak-anak ahli JMG yang cemerlang dalam peperiksaan.


Sambutan Hari Keluarga JMG Kelantan bagi Tahun 2011 telah dirasmikan oleh Tuan Pengarah, Hj. Mohd Badarudin Hasan yang dipengerusikan oleh Pn Azliyah Binti Che Long dan pemudahcaranya ialah En. Umar, En. Azlan, Pn. Mazenah & En. Junor.

SYUKUR KEPADA HADRAT ILAHI SECARA KESELURUHANNYA, PROGRAM SAMBUTAN HARI KELUARGA PADA TAHUN 2011 TELAH BERJAYA DAN BERJALAN DENGAN JAYANYA. KEMERIAHANNYA SUKAR DIGAMBARKAN DENGAN KATA-KATA. TAHNIAH DIUCAPKAN KEPADA URUSETIA SAMBUTAN DI ATAS KEJAYAAN TERSEBUT. TIDAK DILUPAKAN KEPADA WARGA JMG KELANTAN YANG LAIN DAN KELUARGA YANG TELAH MEMBERIKAN KERJASAMA PADU SEPANJANG PROGRAM TERSEBUT BERLANGSUNG. SEMOGA ALLAH S.W.T MEMBERKATI SEGALANYA...



18 September 2011

Kebenaran al-Quran : Gunung berjalan seperti jalannya awan



Dalam satu ayat al-Quran, kita diberitahu bahawa gunung-gunung tidaklah tetap sebagaimana yang nampak, akan tetapi terus-menerus bergerak.

"Dan kamu lihat gunung-gunung itu, kamu sangka dia tetap di tempatnya, padahal dia berjalan seperti jalannya awan. (Begitulah) perbuatan Allah yang membuat dengan kukuh tiap-tiap sesuatu; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Al Qur'an, 27:88)

Gerakan gunung-gunung ini disebabkan oleh gerakan kerak bumi tempat gunung-gunung berada. Kerak bumi ini seperti mengapung di atas lapisan magma yang lebih rapat.
Pada awal abad ke-20, untuk pertama kalinya dalam sejarah, seorang ilmuwan Jerman bernama Alfred Wegener mengemukakan bahawa benua-benua pada permukaan bumi menyatu pada masa-masa awal bumi, namun kemudian bergeser ke arah yang berbeza-beza sehingga terpisah ketika bergerak saling menjauhi.

Para ahli geologi memahami kebenaran pernyataan Wegener baru hanya pada tahun 1980, iaitu 50 tahun setelah kematiannya. Sebagaimana pernah dikemukakan oleh Wegener dalam sebuah tulisan yang terbit tahun 1915, sekitar 500 juta tahun lalu seluruh tanah daratan yang ada di permukaan bumi awalnya adalah satu kesatuan yang dinamakan Pangaea. Daratan ini terletak di kutub selatan.
Sekitar 180 juta tahun lalu, Pangaea terbelah menjadi dua bahagian yang masing-masingnya bergerak ke arah yang berbeza. Salah satu daratan atau benua raksasa ini adalah Gondwana, yang meliputi Afrika, Australia, Antartika dan India.
Benua raksasa kedua adalah Laurasia, yang terdiri dari Eropah, Amerika Utara dan Asia, kecuali India. Selama 150 tahun setelah pemisahan ini, Gondwana dan Laurasia terbahagi menjadi daratan-daratan yang lebih kecil.

Benua-benua yang terbentuk menyusul terbelahnya Pangaea telah bergerak pada permukaan Bumi secara terus-menerus sejauh beberapa sentimeter per tahun. Peristiwa ini juga menyebabkan perubahan perbandingan luas antara wilayah daratan dan lautan di Bumi.

Pergerakan kerak Bumi ini ditemui setelah penyelidikan geologi yang dilakukan di awal abad ke-20. Para ilmuwan menjelaskan peristiwa ini sebagaimana berikut:

Kerak dan bahagian terluar dari magma, dengan ketebalan sekitar 100 km, terbahagi atas lapisan-lapisan yang disebut plat. Terdapat enam plat utama, dan beberapa plat kecil.
Menurut teori yang disebut plat tektonik, plat-plat ini bergerak pada permukaan bumi, membawa benua dan dasar lautan bersamanya.
Pergerakan benua telah diukur dan berkecepatan 1 hingga 5 cm per tahun. plat-plat tersebut terus-menerus bergerak, dan menghasilkan perubahan pada geografi bumi secara perlahan.
Setiap tahun, misalnya, Samudera Atlantic menjadi sedikit lebih lebar. (Carolyn Sheets, Robert Gardner, Samuel F. Howe; General Science, Allyn and Bacon Inc. Newton, Massachusetts, 1985, s. 30)

Ada perkara sangat penting yang perlu dikemukakan di sini: dalam ayat tersebut Allah telah menyebut tentang gerakan gunung sebagaimana mengapungnya perjalanan awan. (Kini, Ilmuwan modern juga menggunakan istilah "continental drift" atau "gerakan mengapung dari benua" untuk gerakan ini. (National Geographic Society, Powers of Nature, Washington D.C., 1978, s.12-13)

Tidak dipersoalkan lagi, adalah salah satu kejaiban Al Qur’an bahawa fakta ilmiah ini, yang baru sahaja ditemui oleh para ilmuwan, telah dinyatakan dalam Al Qur’an.



12 September 2011

Kelahiran Anak Kakitangan JMG Kelantan

Tahniah diucapkan kepada Puan Nurina, kakitangan di bawah unit IT dan suami kerana telah menimang seorang cahaya mata perempuan yang telah diberi nama NUR AMIERA FARIESYA dan dilahirkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu. Beliau telah selamat melahirkan pada pukul 2.15pm pada 05 Mac 2011 ( Sabtu) dengan baby seberat 2.90 kg.

Didoakan semoga Puan dan suami dimurahkan lagi rezeki dan semoga anak tersebut akan memberikan cahaya ketenangan sekaligus penyejuk mata dan pembimbing kepada keluarga dan umat keseluruhannya. Amin...

SAMBUTAN HARI RAYA, MERDEKA 2011& MAJLIS PERSARAAN PUAN AZIZAH BINTI ISMAIL


Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Majlis Meraikan persaraan Pn Azizah binti Ismail telah diadakan pada 08 September 2011, jam 10.00 pagi yang berlangsung di bilik Mesyuarat Feldspar dan perkarangan pejabat JMG Kelantan.
Penyampaian Cenderahati oleh Tuan Pengarah Kepada Kakitangan Bersara
Sempena majlis Persaraan Beliau, Satu tayangan imbasan kenangan-kenangan beliau sepanjang berkhidmat di JMG Kelantan telah ditayangkan untuk imbasan bersama.
Puan Azliyah Che Long Menyampaikan puisi buat bakal pesara
bertajuk “Bak Air yang Mengalir”


Bak air yang mengalir.
Tiba jua kiranya di muara waktu,
Perpisahan mengimbau makna sebuah rindu,
Pada jejak-jejak yang lalu, seribu liku!


Tiba waktunya untuk menyusun jemari,
Membuang segala kerikil bersalut di hati,
yang terkhilaf dimaafi,
yang sesal diinsafi,
yang lebih dibahagi,
yang kurang dilengkapi,
Agar saat perpisahan ini indah,
Terlerai segala durja gundah,
Tersirna cebisan amarah,
Terurai segala yang bercanggah.

Selamat datang persaraan,
Kerana segalanya hanya kesementaraan,
Melengkapi perjalanan,
Sebuah kehidupan!

Bak air yang mengalir,
Tiba juga kiranya di muara waktu,
Di sini kami pasti merindu,
hakikat seorang individu,
Bernama Puan Azizah
Jelinglah kami jika rindu masih bertamu,
Sapalah kami andai mesra akrab berpadu!

Selamat berangkat dalam doa berkat,
Selamat istirahat dari segala muslihat,
Selamat bersara dengan senyuman mesra!
Senyumlah seindah suria,
Setelah mencurahkan segala-galanya,
Pasti beroleh keredaan-Nya.


 

Diucapkan selamat bersara kepada Puan Azizah dan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1432H

25 Ogos 2011

Seluruh Alam Menangisi Pemergianmu....

Bismillahirrahmanirrohimm.

Seluruh alam menangisi pemergianmu wahai Ramadhan yang bakal pergi beberapa hari sahaja lagi…, Seluruh alam ketika ini sedang bersedih menangisimu… termasuklah bukit, bukau, gunung ganang, Ikan di laut dan sungai, pokok-pokok, tumbuh-tumbuhan dan segala macam binatang dan juga hidupan di atas dunia ini………..hanya, ya hanya….hanya kita manusia sahaja yang gembira dan ketawa kerana bakal mengakhiri Ramadhan dan menyambut SYAWAL.

Kegembiraan kita menyambut Syawal lebih daripada kegembiraan kita menyambut kedatangan Ramadhan.

Menangisi kerana ditinggalkan Ramadhan, bulan yang sangat mulia dan penuh keberkatan…dimana Segala Doa tidak ditolak, Segala dosa diampunkan, diawalnya rahmat, dipertengahannya keampunan dan di akhirnya pembebasan dari Azab Api Neraka. Tiada suatu bulan pun yang setara denganmu wahai Ramadhan….bulan yang terdapat di dalamnya satu malam yang sama dengan seribu bulan amalan. Kurniaan Allah dan Rahmat Allah pada kita Umat Nabi Muhammad SAW bagi menyaingi kehebatan amalan Umat Nabi Musa dan umat-umat terdahulu yang umur mereka ribuan tahun dipenuhi amalan

Bulan yang di mana seluruh penghuni Kubur dari zaman Nabi Allah Adam hingga sekarang direhatkan dari siksaan Azab Kubur….dan disambung seksaan semula pabila berkumandangnya Takbir Pertama Aidil Fitri di malam Hari Raya Aidil Fitri. Pada masa itu berdoalah kedua Ayahanda dan Bonda yang telah pergi meninggalkan kita…….

” Wahai anak-anakku……Di manakah hadiah………di manakah doa buat ayah…..buat ibumu ini?
Di manakah…..hadiah bacaan Al-Quran untuk kami..?
Di manakah….hadiah zikirullah untuk kami…wahai anak-anakku?
Di manakah….hadiah sedekah jariah untuk kami….wahai anak-anakku?

Di manakah …..TAHLIL untuk kami wahai anak-anakku…apakah engkau sudah melupakan kami…..wahai penyambung zuriatku. (Tidakkah menitis airmata kita wahai sahabat, jangan lupakan ayah dan bonda yang telah melahir dan membesarkan kita dengan susah payah..jasa dan pengorbanan mereka tidak dapat kita balas….berdoalah agar mereka diampunkan Allah dan Allah membalas jasa dan pengorbanan mereka terhadap kita dan adik beradik kita dengan syurga.)

Begitulah rintihan pilu Arwah Ayahanda dan Bonda……tatkala Malaikat Munkar dan Nakir menjenguk mereka bagi meneruskan nyalaan Api dikuburan….Tetapi kita di atas dunia ini….gembira dan bersuka ria dengan pemergian Ramadhan dan cukup gembira dengan kehadiran Syawal. Boleh gembira….bukan tidak boleh gembira….tetapi gembira sekadar yang digariskan oleh Nabi SAW, kerana umat di atas bergembira..umat dibawah(dikuburan) berdukacita.

Wahai sahabat sekalian….Ramadhan cuma tinggal beberapa hari lagi…….belum lewat lagi, ayuh marilah kita berhabis-habisan lawanlah nafsu malasmu. Menangislah kita di malam hari di hadapan Allah. Mohonlah keampunan dan kebebasan dari Api Neraka. Berdoalah untuk keampunan dan kebaikan dan kerahmatan kedua ibu bapa kita samaada yang hidup mahupun yang telah pun pergi meninggalkan kalian…

Imam Ali Ar-Ridha (sa) berkata: “Orang yang benar-benar celaka adalah orang yang keluar dari bulan ini, tetapi dosa-dosanya tidak diampuni. Ketika itulah ia menjadi orang yang rugi saat orang-orang yang baik memperoleh keuntungan dari Tuhan Yang Maha Mulia.” (Fadhail Al-Asyhur Ats-Tsalatsah: 74)



Allah cukup kasih dan saying kepada kita wahai sahabat…..punya sayang Allah pada kita hambanya. Setiap malam Allah memanggil hambanya. Di manakah kita pada waktu itu….di manakah kita tuan…???

Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata:

Rasulullah saw. bersabda: Allah Taala berfirman:
Aku sesuai dengan persangkaan hamba-Ku terhadap-Ku dan Aku selalu bersamanya ketika dia mengingat-Ku. Apabila dia mengingat-Ku dalam dirinya, maka Aku pun akan mengingatnya dalam diri-Ku. Apabila dia mengingat-Ku dalam suatu jemaah manusia, maka Aku pun akan mengingatnya dalam suatu kumpulan makhluk yang lebih baik dari mereka. Apabila dia mendekati-Ku sejengkal, maka Aku akan mendekatinya sehasta. Apabila dia mendekati-Ku sehasta, maka Aku akan mendekatinya sedepa. Dan apabila dia datang kepada-Ku dengan berjalan, maka Aku akan datang kepadanya dengan berlari. (Shahih Muslim No.4832)

Apakah kita akan bertemu lagi Ramadhan yang akan datang ???

Petikan dari Blog Panglima 7


14 Ogos 2011

Kakitangan Baru JMG Kelantan

Dimaklumkan bahawa JMG Kelantan menerima dua orang kakitangan baru seperti berikut;

1. En. Muhammad Nur Hafiz Ali (Pembantu Galian, C17) - Unit Lombong & Kuari
2. En. Junor Yaakub (Pembantu Kajibumi, C22) - Unit Geosains, pernah berkhidmat di JMG Kelantan sebelum bertukar ke JMG Pahang. Tahniah diucapkan kepada beliau.

Kepada kedua-duanya, diucapkan selamat bertugas di JMG Kelantan dari warga JMG Kelantan.


17 Julai 2011

Soal Jawab Puasa

Soalan: Adakah puasa difardhukan ke atas umat yang dahulu. Kalau difardhukan ke atas mereka, pada bulan apakah diwajibkan berpuasa.

Jawapan: Puasa telah difardhukan ke atas umat dahulu dalam bulan Ramadhan sebagaimana difardhukan ke atas umat Nabi Muhammad SAW.

Soalan: Bagaimana hendak diketahui awal Ramadhan

Jawapan: Diketahui Ramadhan dengan cukup Syaaban 30 hari atau dengan nampak anak bulan Ramadhan pada malam 30 syaaban atau dengan perisytiharan pihak Kerajaan.

Soalan: Bilakah yang dikatakan Hari Syak

Jawapan: Hari Syak ialah hari 30 syaaban dengan

syarat:
Pada malam 30 Syaaban itu cuaca terang
Orang fasik mengatakan dia nampak anak bulan.

Soalan: Adakah harus berpuasa di Hari Syak

Jawapan: Mengikut pendapat yang kuat tidak harus berpuasa di hari tersebut kecuali puasa qada' dan nazar. Bagi mereka yang sentiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis maka harus baginya berpuasa.

Soalan: Bagaimana hendak diketahui awal Syawal.

Jawapan: Untuk mengetahui awal Syawal sama seperti awal Ramadhan (sila rujuk soalan nombor 2).

Soalan: Bolehkah kita berpuasa dan berhari raya mengikut negeri Mekah dan negeri yang berdekatan, kerana mereka nampak anak bulan.

Jawapan: Tidak harus ikut berpuasa kecuali negeri-negeri itu berada dalam satu matla'

Soalan: Saya berpuasa di Mekah lebih awal satu hari dari mereka berpuasa di Malaysia. Apabila saya balik, puasa saya sudah cukup 30 hari dan orang Malaysia masih berpuasa lagi. Adakah boleh saya berbuka dan berhari raya.

Jawapan: Mengikut khaul yang lebih betul tidak boleh berbuka dan berhari raya, hendaklah tunggu bersama berbuka dan berhari raya dengan penduduk Malaysia.

Soalan: Kalau kita ke tempat yang lebih awal berpuasa mereka berhari raya kita belum cukup lagi puasa. Adakah boleh berbuka.

Jawapan: Wajib berbuka puasa dan berhari raya mengikut negeri berkenaan. Bagi mereka yang tidak cukup puasanya sebanyak 29 hari maka wajib mengqada'kannya.

Soalan: Bagaimana cara sembahyang dan berpuasa bagi negeri yang tidak ada siang dan malam.

Jawapan: Mereka hendaklah berpuasa dan bersembahyang mengikut negeri yang berhampiran dengannya, yang mempunyai lima waktu sembahyang ataupun mengikut waktu Mekah.

Soalan: Apakah hukum orang tua yang tidak boleh berpuasa kerana tua atau orang tidak terdaya berpuasa kerana sakit berpanjangan.

Jawapan: Boleh berbuka puasa dan hendaklah memberi fidyah secupak beras (675 gram); bagi setiap hari yang ditinggalkan dan tidak dikena qada' ke atasnya.

Soalan: Adakah boleh berbuka puasa bagi mereka yang lapar dan dahaga kerana bekerja dan digantikan dengan beras sebagaimana dibenarkan kepada orang tua.

Jawapan: Tidak harus berbuka puasa bagi mereka yang lapar dan dahaga kerana bekerja.

Soalan: Bagaimanakah lafaz niat puasa, adakah wajib berniat dengan fardhu Ramadhan atau puasa Ramadhan sahaja.

Jawapan: Sebaik-baik niat dengan mengingat "Aku berpuasa esok hari kerana menunaikan fardhu Ramadhan". Walau bagaimanapun sah dengan niat, aku puasa Ramadan sahaja.


Mengikut mazhab Maliki boleh berniat pada malam pertama dengan berniat sebulan bulan Ramadhan, dan harus bagi orang-orang yang bermazhab Syafie bertaqlid kepada mazhab Maliki berniat pada malam pertama sebulan Ramadhan. Bagi puasa sunat harus berniat pada siang hari sebelum tergelincir matahari.

Soalan: Pada malam Hari Syak seseorang bemiat puasa "sekiranya esok 1 Ramadhan aku berpuasa. Adakah sah puasa tersebut, sekiranya esok jatuh 1 Ramadhan".

Jawapan: Tidak sah puasa kerana di antara syarat sah puasa ialah dengan niat yakin dan tepat.

Soalan: Adakah sah puasa seorang yang dalam haid dan nifas berniat puasa Ramadhan pada malam hari pada kebiasaannya haid dan nifasnya suci sebelum Subuh pada hari tersebut.

Jawapan: Sah niatnya sekiranya suci/nifasnya sebelum fajar.

Soalan: Adakah sah puasa seseorang yang syak niatnya di waktu malam.

Jawapan: Tidak sah kecuali dia teringat yang dia berniat puasa pada malam tersebut, sebelum maghrib.

Soalan: Adakah sah seorang yang syak niat puasanya pada hari tersebut selepas berbuka.

Jawapan: Sah puasa tersebut.

Soalan: Seseorang yang berniat puasa pada malam hari kemudian dia membatalkan niatnya sebelum fajar. Adakah sah puasanya pada hari esok.

Jawapan: Tidak sah.

Soalan: Adakah sah puasa seseorang yang berbuka dengan tidak yakin/berat sangka sudah masuk waktu

Jawapan: Tidak sah.

Soalan: Adakah sah puasa bagi orang yang tidak mandi hadas besar.

Jawapan: Sah puasa.

Soalan: Adakah batal puasa bagi orang yang berpuasa memasukkan ubat ke dalam matanya.

Jawapan: Sah puasanya kerana mata itu bukan anggota rongga walaupun terasa di tekak.

Soalan: Adakah batal puasa seseorang yang berpuasa menyuntik dengan ubat yang mengenyangkan.

Jawapan: Batal puasa.

Soalan: Adakah batal puasa apabila termasuk air ke dalam rongga ketika berkumur-kumur di masa wuduk.

Jawapan: Tidak batal puasa kecuali melampaui batas ataupun melebihi tiga kali (kali ke empat).

Soalan: Orang yang berpuasa merasai tersangat dahaga kemudian memasukkan air batu ke dalam mulutnya untuk mengurangkan dahaga lalu tertelan. Adakah batal puasanya

Jawapan: Tidak batal puasa.

Soalan: Adakah batal puasa bagi orang gila sekejap.

Jawapan: Batal puasa.

Soalan: Adakah sah puasa bagi orang yang pitam

Jawapan: Sah puasa kecuali pitam yang sepanjang hari iaitu terbit fajar hingga terbenam matahari.

Soalan: Adakah sah puasa bagi mereka yang tertidur semasa sahur sehingga waktu maghrib

Jawapan: Sah puasa.

Soalan: Adakah wajib kifarat bagi orang bermukim bersetubuh selepas membatalkan puasa atau orang musafir berbuka puasa dengan bersetubuh

Jawapan: Tidak wajib membayar kifarat bagi orang bersetubuh begitu juga bagi orang musafir yang berbuka puasa dengan bersetubuh.

Soalan: Apakah kifarat bersetubuh dengan sengaja pada bulan puasa

Jawapan: Kifarat bersetubuh hendaklah memerdekakan seorang hamba Islam yang sempurna dari kecacatan, kalau tidak berkuasa hendaklah berpuasa 2 bulan berturut-turut, jika tidak berkuasa hendaklah beri makan kepada 60 orang miskin setiap seorang secupak. Cara membayar kifarat ini hendaklah mengikut tertib seperti di atas.

Soalan: Kalau seseorang membatalkan puasanya dengan bersetubuh kemudian mati sebelum maghrib. Apakah hukumnya?

Jawapan: Hukumnya adalah berdosa dan tidak dikenakan kifarat ke atasnya dan keluarganya.

Soalan: Kifarat bersetubuh dikenakan kepada siapa (suamil isteri)

Jawapan: Kifarat bersetubuh dikenakan ke atas suami sahaja.

Soalan: Adakah batal puasa seseorang yang terkeluar mani dengan sebab khayalan

Jawapan: Sekiranya bila dia berkhayal biasa keluar mani maka batal puasanya, kalau biasanya dia berkhayal tidak keluar mani maka tidak batal puasanya.

Soalan: Adakah boleh diqada' sembahyang atau diberi fidyah kepada si mati yang tak bersembahyang

Jawapan: Yang muktamad tidak boleh diqada' dan tidak boleh diberi fidyah tetapi Imam Subki dari Ulama' yang bermazhab dengan Mazhab Syafie mengatakan boleh diqada' dan mengikut Mazhab Abu Hanifah boleh diberi fidyah sebagaimana fidyah mereka yang meninggalkan puasa, kita boleh bertaalik kepada dua pendapat tadi.

Soalan: Adakah wajib berimsak dari perkara-perkara yang membatalkan puasa, beberapa minit sebelum subuh

Jawapan: Tidak wajib berimsak tetapi adalah sunat menjauhi dari makan/minum dan lainnya sekadar baca surah Mursolat sebelum Subuh lebih kurang dalam enam minit.

Soalan: Orang yang tidak berpuasa kerana tidak berniat malam dan orang yang membatalkan puasanya, adakah boleh makan/minum dan lainnya

Jawapan: Wajib mereka berimsak iaitu menahan diri dari makan minum dan perbuatan yang membatal puasa, walaupun mereka tidak berpuasa.

Soalan: Apakah hukum yang dikenakan kerana berzina atau wathisubhah pada bulan puasa

Jawapan: Hukumnya batal puasa dan dikenakan kifarat ke atas kedua-duanya sekali (lelaki dan perempuan).

Soalan: Seorang perempuan putus haid di siang hari adakah wajib dia berimsak

Jawapan: Sunat berimsak.

Soalan: Sekiranya seseorang yang membatalkan puasa nazar/qada' adakah wajib dia berimsak

Jawapan: Tidak wajib berimsak.

Soalan: Adakah wajib imsak bagi orang musafir yang berbuka puasa apabila sampai ke tempat tinggalnya (bermastautin/bermukim)

Jawapan: Mengikut khaul yang lebih betul tidak wajib berimsak.

Soalan: Adakah perempuan yang haid wajib berimsak

Jawapan: Perempuan yang haid haram berimsak sebagaimana dia haram bersembahyang.

Soalan: Kanak-kanak yang tidak berpuasa dan baligh di siang hari, adakah wajib berimsak dan qada' puasanya

Jawapan: Tidak wajib berimsak dan tidak wajib qada'.

Soalan: Seseorang yang keluar dari kampungnya setelah fajar kerana musafir, adakah harus bagi mereka berbuka puasa

Jawapan: Tidak harus berbuka bahkan wajib disempurnakan puasanya.

Soalan: Adakah sunat berniat puasa beserta dengan lafaz

Jawapan: Sunat.

Soalan: Seseorang yang telah menyediakan makanan untuk makan sahur, kemudian dia terjaga selepas fajar, adakah sah puasanya pada hari itu

Jawapan: Sah puasa dengan penyediaan sahurnya kerana penyediaan sahur itu dianggap sebagai telah berniat.

Soalan: Adakah sah puasa orang yang berbuka dengan syak masuk waktu maghrib

Jawapan: Tidak sah puasanya.

Soalan: Adakah sah puasa orang yang bersahur yang berat sangkanya, masuk waktu Subuh

Jawapan: Sah puasanya selagi dia tidak yakin masuk waktu Subuh dan sekiranya yakin, tidak sah puasanya dan diwajibkan qada'.

Soalan: Adakah sah puasa seseorang yang biasanya apabila melihat bangkai dia muntah, tetapi sengaja dilihatnya

Jawapan: Tidak sah puasanya tetapi sekiranya tidak sengaja maka tidak batal puasanya.

Soalan: Apakah hukum menggosok gigi di bulan puasa

Jawapan: Hukumnya sunat dia menggosok gigi sebelum gelincir matahari dan makruh selepas gelincir matahari.

Soalan: Adakah batal puasa termuntah dengan sebab menggosok gigi

Jawapan: Tidak batal kecuali mereka yang biasanya muntah apabila mengggosok gigi dan sengaja dia meggosoknya.

Soalan: Apakah hukum cabut gigi, berbekam dan berpatik semasa berpuasa

Jawapan: Hukumnya makruh.

Soalan: Apakah hukumnya seseorang yang tidak dapat berpuasa pada bulan Ramadhan kerana sakit yang berkekalan dan mati selepasnya

Jawapan: Tidak ada apa hukum ke atasnya dan begitu juga warisnya.

Soalan: Seseorang yang meningal dunia, puasanya sudah diqada' tetapi fidyahnya belum dibayar lagi. Adakah fidyahnya bertambah

Jawapan: Fidyahnya tidak bertambah.

Soalan: Seseorang yang terdengar azan Subuh ketika dia sedang bersahur, adakah sah puasanya

Jawapan: Sah puasanya dan hendaklah berhenti makan serta merta dan terus buang makanan yang ada di dalam mulutnya.

Soalan: Orang yang bersahur dengan niat untuk menguatkan puasa, adakah sah niat tersebut?

Jawapan: Tidak sah.

Soalan: Seseorang yang syak masuk waktu Subuh kemudian dia bersetubuh meninggalkan bersahur kerana bimbangkan luput waktunya, adakah sah puasanya

Jawapan: Sah puasanya kalau dia berniat puasa pada malam itu.

Soalan: Seseorang yang terkeluar sesuatu dari tekaknya kemudian dia menelannya, adakah batal puasanya

Jawapan: Batal puasanya.

Soalan: Air liur yang terkumpul di dalam mulutnya kemudian ditelan, adakah batal puasanya

Jawapan: Tidak batal puasanya kerana air liur datang dari mulut tidak datang dari rongganya.

Soalan: Air liur yang bercampur dengan sesuatu yang lain seperti darah atau makanan kemudian ditelan, adakah batal puasa

Jawapan: Batal puasanya.

Soalan: Apakah hukum orang yang berpuasa yang makan dengan terlupa kemudian teringat kembali yang dia berpuasa

Jawapan: Sah puasanya kerana itu adalah rezeki daripada Allah. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud "Sesiapa yang makan atau minum dengan keadaan terlupa maka jangan berbuka puasa maka sesungguhnya itu adalah rezeki yang diberi oleh Allah s.w.t kepadanya".

Soalan: Adakah sah niat puasa di malam 30 Syaaban sedangkan hatinya tidak berat sangka bahawa esoknya masuk Ramadhan

Jawapan: Tidak sah niat tersebut.

Soalan: Adakah boleh orang yang berpuasa menggunakan contact lens

Jawapan: Boleh.

Soalan: Adakah wajib berimsak ke atas kanak-kanak yang baligh dan sedang berpuasa

Jawapan: Wajib berimsak ke atasnya.

Soalan: Orang yang berpuasa nazar kemudian dia berbuka puasanya. Adakah wajib dia berimsak selepas dia berbuka

Jawapan: Tidak wajib kecuali puasa pada bulan Ramadhan.

Soalan: Orang yang berpuasa yang melakukan 2 kali persetubuhan dalam satu hari. Adakah dikenakan 2 kifarat

Jawapan: Dikenakan satu kifarat sahaja.

Soalan: Apakah hukumnya bagi perempuan yang mengandung atau perempuan yang menyusukan anak membatalkan puasanya

Jawapan: Harus membatalkan puasa tersebut dengan dua sebab:

a. Kerana keuzuran dirinya sendiri.

b. Kerana menjaga kesihatan anak.

Keterangan:

a. Kalau berbuka puasa kerana menjaga kesihatan dirinya wajib qada' sahaja.

b. Kalau berbuka puasa kerana mahu menjaga kesihatan anak bukan dirinya, wajib qada'dan fidyah sekadar 1 cupak beras untuk sehari.

c. Kalau berbuka puasa kerana menjaga diri dan anak wajib qada' sahaja.

Soalan:Adakah wajib qada' puasa yang ditinggalkan semasa dia gila

Jawapan: Tidak wajib qada' puasa tersebut.

Soalan: Seseorang yang mati dan meninggalkan puasa tetapi walinya tidak membayarkan fidyah sehingga Ramadhan yang kedua. Adakah digandakan fidyahnya

Jawapan: Tidak digandakan fidyahnya. Ada pendapat mengatakan dikenakan dua cupak bagi setiap hari, satu cupak kerana tidak berpuasa dan satu cupak lagi kerana menangguhkan fidyah.

Soalan: Apakah hukum seseorang yang mati yang belum sempat menunaikan puasa nazar

Jawapan:

a. Mengikut Qaul Jadid hendaklah wali memberi secupak beras sehari.

b. Mengikut Qaul Qadim wali boleh memberi secupak beras sehari atau menggantikan puasa.

Soalan: Adakah harus qada' puasa kepada simati yang meninggalkan puasanya sebulan dengan diqada'kan puasanya oleh 30 orang selama satu hari

Jawapan: Harus dan Sah.

Soalan: Orang yang tidak berdaya puasa bolehkah diqada'kan puasa untuknya

Jawapan: Tidak boleh diqada'kan puasa kepada orang yang masih hidup.

Soalan: Bolehkan dibayar fidyah 10 cupak kepada 1 orang atau mesti diberi secupak seorang untuk 10 orang

Jawapan: Boleh diberi kepada satu orang atau sepuluh orang.

Soalan: Adakah sah bernazar puasa selama 1 tahun

Jawapan: Sah nazar tersebut dan hendaklah berpuasa selama tempoh tersebut termasuk dalamnya hari Tahrim (2 hari raya), tiga hari tasyrik, l bulan puasa Ramadhan dan puasa qada'.

Soalan: Apakah hukum seorang isteri bernazar untuk puasa setahun dan dilarang oleh suami

Jawapan: Wajib berbuka dan tidak dikenakan fidyah dan qada' kerana dikira uzur.

Soalan: Adakah sah puasa sunat seorang perempuan yang dilarang oleh suaminya

Jawapan: Sah puasa tetapi berdosa.

Soalan: Adakah wajib qada' bagi seseorang yang membatalkan puasa sunatnya

Jawapan: Tidak wajib qada' pada mazhab Abu Hanifah.

Soalan: Bolehkah membatalkan haji sunat atau umrah sunat

Jawapan: Tidak boleh kalau terbatal wajib Qada'. Catatan: Masalah ini berbeza dengan puasa sunat kerana puasa sunat boleh dibatalkan tanpa qada'.

Soalan: Adakah sah berpuasa pada hari-hari Tahrim

Jawapan: Tidak sah dan haram berpuasa.

Soalan: Apakah hukum bersahur

Jawapan: Hukumnya sunat.

Soalan: Apakah hukum puasa sunat pada hari jumaat saja

Jawapan: Makruh berpuasa kecuali pada hari jumaat itu jatuh 10 Muharram.

Soalan: Apakah hukum meneruskan puasa 2 hari berturut-turut atau lebih dengan tidak berbuka

Jawapan: Haram berpuasa dengan tidak berbuka.

Soalan: Adakah sah berpuasa dengan tidak berbuka

Jawapan: Sah puasa

Soalan: Seorang yang uzur tidak dapat berpuasa hingga ke tahun berikutnya. Adakah wajib fidyah ke atasnya kerana terlewat qada'

Jawapan: Tidak wajib fidyah ke atasnya wajib qada' sahaja ke atasnya.

Soalan: Adakah pahala membaca AI-Quran dan bersedekah di bulan Ramadhan berganda dari bulan-bulan yang lain

Jawapan: Pahala membaca AI-Quran dan bersedekah dibulan Ramadhan adalah berganda.

Soalan: Bolehkah isteri membayar fidyah puasa suami yang telah meninggal dunia

Jawapan: Harus isteri membayar fidyah puasa suaminya yang telah meninggal tetapi yang terutamanya ialah anak-anaknya kerana anak-anaknya yang menerima asabah daripada pusakanya. Ini berpandu kepada Imam as-Subki yang telah memfidyahkan puasa keluarganya yang telah meninggal dunia.

Soalan: Hukum puasa orang yang terkentut dalam air

Jawapan: Puasanya sah kerana terkentut dalam air tidak membatalkan puasa.

Soalan: Apakah hukum perempuan hamil berbuka puasa kerana takut menjejaskan kesihatan kandungannya

Jawapan: Hukumnya harus

Soalan: Hukum mencantumkan puasa qadha' dengan puasa sunat

Jawapan: Hukumnya harus bahkan setengah ulama' mengatakan sunat.

Soalan: Hukum berniat puasa qadha' pada waktu pagi siang hari dan bagaimana niatnya

Jawapan: Hukumnya tidak sah kecuali puasa sunat.

Soalan: Apakah hukum meninggalkan puasa kerana bersalin

Jawapan: Hukumnya wajib, jika perempuan yang bersalin itu ada darah nifas dan wajib qadha' pada bulan-bulan yang lain tetapi sekiranya perempuan yang bersalin itu tiada darah nifas maka harus dia meninggalkan puasa kerana menjaga kesihatannya dan wajib qadha' pada bulan-bulan yang lain.

Soalan: Bolehkah fidyah puasa dibuat jamuan kepada fakir miskin?

Jawapan: Tak boleh fidyah puasa dengan duit. Mengikut Mazhab Shafie fidyah puasa hendaklah dengan dikeluarkan beras secupak pada satu puasa dan tidak boleh ditukarkan kepada yang lain. Oleh itu hendaklah diberi beras, jangan ditukar kepada yang lain atau makanan supaya hak orang miskin ini tidak dapat diguna oleh orang-orang yang tidak berhak.

Soalan: Bolehkah berpuasa pada hari Arafah yang jatuh di hari Jumaat?

Jawapan: Sunat berpuasa di hari arafah walaupun berlaku hari Jumaat. Yang makruh berpuasa di hari Jumaat ialah semata-mata melakukan puasa sunat.

Soalan: Saya mahu qada' puasa di hari ini tetapi saya tertidur semalaman. Adakah boleh saya berniat di siang hari?

Jawapan: Tidak boleh, kerana niat puasa qada' dan nazar itu wajib dan niat puasa qada' dan nazar adalah di malam hari. Tidak sah selepas Subuh dan boleh berniat di siang hari hanya untuk puasa sunat sahaja.

Soalan: Apabila seseorang qadal puasa kemudian dia membatalkan puasanya dengan sebab kawan mengajak makan. Adakah dengan sebab yang demikian digandakan dua hari untuk puasa qadalnya?

Jawapan: Wajib dia puasa yang dibatalkan itu sahaja dan haram membatalkan puasanya.

Soalan: Adakah boleh qada' puasa pada 13 Zulhijjah?

Jawapan: Tidak boleh kerana 13 Zulhijjah dilarang berpuasa.

Soalan: Saya mahu Puasa qada' selama 10 hari. Adakah boleh saya berniat puasa di malam pertama puasa?

Jawapan: Tidak harus kerana sepuluh puasa qada' itu adalah puasa yang berlainan seperti orang tinggal sepuluh kali pada sembahyang Subuh. Maka sepuluh Subuh itu adalah lain di antara satu sama lain. Maka hendaklah berniat pada membuat tiap-tiap sembahyang yang sepuluh itu. Begitu juga dengan puasanya.

Soalan: Adakah boleh saya bagi fidyah puasa kepada satu orang?

Jawapan: Boleh.

Soalan: Ibu saya meninggal dunia pada hari yang ke sepuluh Ramadhan kerana sakit dan tidak dapat puasa. Apakah hukumnya?

Jawapan: Tidak dikenakan apa-apa fidyah kerana dengan sebab tidak ada masa untuk dirinya mengqada'kan puasanya.

Soalan: Apakah pada bulan Muharram itu ada hari diharamkan berpuasa?

Jawapan: Tidak ada, harus berpuasa sepanjang bulan.

Soalan: Adakah fidyah puasa boleh diberi kepada anak yatim?

Jawapan: Tidak boleh diberi kepada anak yatim. Yang berhak menerima fidyah puasa ialah kepada fakir miskin.

Soalan: Bolehkah puasa sepanjang tahun selain dari 2 hari raya dan hari-hari tasyrik?

Jawapan: Boleh berpuasa bahkan sunat berpuasa sekiranya kuasa dan tidak terjejas tanggungjawab yang diwajibkan ke atasnya.

Soalan: Kenapakah awal puasa dan hari raya tidak sama di antara negara-negara Islam di dunia.

Jawapan: Awal puasa dan hari raya tidak sama kerana tidak sama matlaknya, tidak boleh disamakan waktu seperti waktu sembahyang contohnya di negara kita sudah masuk waktu Isyak tetapi di Mekah belum Maghrib lagi.

Soalan: Adakah boleh berpuasa sunat di hari Jumaat?

Jawapan: Boleh tetapi makruh puasa hari Jumaat sahaja kecuali dihubungkan dengan hari sebelum atau hari selepas. Sekiranya hari itu jatuh hari sunat berpuasa seperti sepuluh Muharram maka disunat berpuasa.

Soalan: Apakah hukum orang yang berpuasa dan makan kerana terlupa?

Jawapan: Sah puasanya kerana makan dengan tidak sengaja.

Sumber: Berita Harian Online (Dipetik dari laman web Jakim)

07 Julai 2011

Nasihat Rasulullah s.a.w Kepada Ibn 'Abbas r.a


عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: «كُنْتُ خَلْفَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْماً, فَقَالَ: يَا غُلاَمُ, إِنّي أُعَلّمُكَ كِلمَاتٍ: إِحْفَظِ الله يَحْفَظْكَ, إِحْفَظِ الله تجِدْهُ تجَاهَكَ, إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ الله, وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بالله, وَاعْلَمْ أَنّ الأُمّةَ لَوِ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلاّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ الله لَكَ, ولو اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرّوكَ إِلاّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ الله عَلَيْكَ, رُفِعَتِ الأَقْلاَمُ وَجَفّتِ الصّحُف». قال: هَذَا حَديثٌ حسنٌ صحيحٌ.

Dari Ibn ‘Abbas r.a , dia berkata, “Suatu hari aku berada di belakang Nabi s.a.w, lalu beliau bersabda, ‘Wahai Ghulam, sesungguhnya ku ingin mengajarkanmu beberapa kalimat (nasihat-nasihat), ‘Jagalah Allah, pasti Allah menjagamu, jagalah Allah, pasti kamu mendapatinya di hadapanmu, bila kamu meminta, maka mintalah kepada Allah dan bila kamu minta tolong, maka minta tolonglah kepada Allah. Ketahuilah, bahwa jikalau ada seluruh umat berkumpul untuk memberikan suatu manfa’at bagimu, maka mereka tidak akan dapat memberikannya kecuali sesuatu yang telah ditakdirkan Allah atasmu, dan jikalau mereka berkumpul untuk merugikanmu (membahayakanmu) dengan sesuatu, maka mereka tidak akan bisa melakukan itu kecuali sesuatu yang telah ditakdirkan Allah atasmu. Pena-pena (pencatat) telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering.” (HR at-Tarmidzi, dia berkata, ‘Hadits Hasan Shahih’. Hadits ini juga diriwayatkan Imam Ahmad)

05 Julai 2011

Taklimat Garis Panduan Zon Keselamatan Batu Kapur

Taklimat Garis Panduan Zon Keselamatan Batu Kapur
Oleh En. Ahmad Rosli Bin Othman (Geologi Kejuruteraan)
Di Bilik Mesyuarat Feldspar, JMG Kelantan
Pada Petang 4 Julai 2011

TAKLIMAT 5S

TAKLIMAT 5S
OLEH HJ. NURZAIDI BIN ABDULLAH (WAKIL PPO)
DI BILIK MESYUARAT FELDSPAR, JMG KELANTAN
PADA 4 JULAI 2011

30 Jun 2011

CERAMAH BULAN JUN 2011

CERAMAH KAJIAN BIJIH TIMAH PLASER SG. YAI
OLEH EN. MOHD. LAZIM MOHAMED (TPSM)
DI BILIK MESYUARAT FELDSPAR, JMG KELANTAN
PADA 28 JUN 2011

15 Jun 2011

HARI IT JMG KELANTAN BIL. 2/2011

KOTA BHARU, 13 Jun-Hari IT JMG Kelantan Bil. 2/2011 berjaya dilaksanakan pada sebelah pagi hari ini. Secara dasarnya, Unit Pengurusan Maklumat JMG Kelantan merancang untuk mengadakan sambutan Hari IT setiap sukutahun. Objektif utamanya adalah untuk memberikan pendedahan kepada warga JMG Kelantan berkaitan ilmu dan kemahiran IT. Dalam sambutan pada kali ini, tajuk taklimat yang dipilih ialah, "Keselamatan ICT Dari Perspektif Pengurusan Maklumat". Taklimat yang disampaikan oleh En. Muhammad Umar Bin Sarimal (C41) tersebut merangkumi, Cabaran Keselamatan ICT, Konsep Keselamatan ICT dan Keselamatan ICT Sektor Awam. Syabas kepada semua yang terlibat!

29 Mei 2011

CERAMAH BULAN MEI 2011

CERAMAH PENGURUSAN REKOD & PELUPUSAN FAIL
OLEH PN. AZLIYAH CHE LONG (PPT)
DI BILIK MESYUARAT FELDSPAR, JMG KELANTAN
PADA 25 MEI 2011


Ujian Pengepaman Air Tanah, Kg Be'oh, Bachok









Ujian Pengepaman Air Tanah
Aktiviti Hidrogeologi, Unit Geosains
Jabatan Mineral & Geoasins Malaysia
Negeri Kelantan
23 Mei 2011

28 Mei 2011

CERAMAH BULAN APRIL 2011

CERAMAH
KESELAMATAN & PENGURUSAN RAHSIA RASMI KERAJAAN
OLEH EN. AB RASHID BIN AHMAD (TPGS)
DI BILIK MESYUARAT FELDSPAR, JMG KELANTAN
PADA 21 APRIL 2011

08 Mei 2011

Doa Penggerak/Pendinding


Doa yang baik diamalkan setiap hari..

Untuk mengetahui kebaikan doa ini sila klik DARUSSYIFA

04 Mei 2011

P-D-C-A

MAJLIS PERPISAHAN PERSARAAN

Satu majlis perpisahan sempena persaraan En. Sansuddin bin Taib (Pembantu Kajibumi Kanan, C22) telah diadakan pada 25 April 2011 (Isnin) di Bilik Mesyuarat Feldspar, JMG Kelantan. Beliau yang berkhidmat di Unit Geosains, Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Kelantan akan bersara wajib pada 8 Mei 2011, setelah berkhidmat dengan Kerajaan Malaysia selama 34 tahun, 8 bulan dan 7 hari. Beliau telah mula bercuti pada 27 April 2011 yang lalu. Bagi pihak Kerajaan Malaysia, sekalung penghargaan untuk beliau atas sumbangan cemerlang di sepanjang perkhidmatan. Semoga terus maju jaya!


Pengarah menyampaikan sijil penghargaan
kepada En. Sansuddin Taib

Penyampaian cederahati sebagai kenang-
kenangan

En. Sansuddin Taib sedang menyampaikan
ucapan perpisahannya

En. Hamdan Ariffin walaupun sedang bercuti
belajar, turut hadir bagi memeriahkan majlis

Jamuan perpisahan

Kelihatan En. Sansuddin Taib dan rakan-rakan
sedang berbaris mengambil makanan