free buat blog
JABATAN MINERAL & GEOSAINS KELANTAN, WISMA PERSEKUTUAN, TINGKAT 3, JALAN BAYAM, 15658 KOTA BHARU, KELANTAN TEL:09-7411300 FAX: 09-741308 EMEL: jmgkel@jmg.gov.my

11 Oktober 2011

Tidur Dalam Ribut

Pada hari Selasa, 5 Oktober, saya telah mempengerusikan mesyuarat MSC Malaysia Flagship Coordination Committee atau FCC, mengenai kemajuan projek-projek ICT Kerajaan seperti E-Government, Smart School, Telehealth dan sebagainya.

Pada akhir mesyuarat, Urus setia telah membentangkan FCC versi 2.0 mengenai hala tuju Jawatankuasa tersebut pada masa hadapan supaya lebih mantap serta selari dengan aspirasi dan hasrat kerajaan. Namun, saya telah mencabar Urus setia serta ahli mesyuarat – mengapa FCC 2.0?; mengapa tidak FCC 10.0? Adalah amat penting bagi kita merancang mengenai perkara-perkara yang lebih jauh ke masa hadapan dan bawanya ke hari ini, iaitu fikir dan laksanakannya sekarang – baik dalam peranan kita di dalam jawatankuasa seperti FCC mahupun sebagai penjawat awam mahupun sebagai ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Pelukis terkemuka dunia, Leornardo Da Vinci, pada tahun 1480 telah mula melukis mengenai kapal terbang. Beliau mempunyai lebih 100 buah lukisan yang melakarkan pemikiran beliau mengenai mesin yang boleh membawa manusia untuk “terbang”. Sebagaimana kita ketahui, penerbangan pertama yang berjaya dilakukan oleh manusia ialah pada 17 Disember 1903 oleh Orville Wright, iaitu lebih 400 tahun setelah Leornardo Da Vinci mula melukis mengenai penerbangan manusia. Malah, helikopter yang kita lihat pada hari ini adalah berasaskan kepada reka bentuk yang dilakarkan oleh Leonardo da Vinci di dalam salah sebuah lukisannya yang dinamakan Ornithopter.

Begitu juga Jules Verne, penulis science fiction yang tidak asing lagi, pada tahun 1863 telah menulis sebuah novel bertajuk “Paris in the Twentieth Century”. Novel tersebut mengisahkan seorang pemuda yang tinggal di dalam sebuah bangunan pencakar langit, perjalanan menaiki kereta api berkelajuan tinggi, kereta yang berkuasa gas, serta jaringan komunikasi seluruh dunia. Namun, penerbit buku-buku beliau pada masa itu, mencadangkan supaya Verne menunggu 20 tahun lagi untuk menerbitkan bukunya. Verne menyimpan manuskripnya itu di dalam sebuah peti besi. Lebih 120 tahun kemudian, pada tahun 1989 seorang cicit beliau terjumpa manuskrip tersebut, dan pada tahun 1994 buku tersebut akhirnya diterbitkan. Kalau saudara-saudari masih ingat, pada sekitar tahun 1993 dan 1994, masa buku beliau diterbitkan, Internet baru sahaja mula dikenali oleh masyarakat dunia sebagai saluran komunikasi penting, sedangkan Jules Verne telah pun berfikir mengenainya pada tahun 1863.

Ahead of the curve
Bertitik tolak dari cerita-cerita tersebut, cuba kita bayangkan apa yang dihasratkan oleh kerajaan dan rakyat terhadap peranan kita sebagai penjawat awam. Bagaimana kita lihat peranan kita 20 tahun dari sekarang, atau seperti di dalam tulisan Jules Verne, 100 tahun dari sekarang. Seterusnya, kita “fast forward” dan laksanakannya pada hari ini juga. Tidak perlu tunggu 20 tahun atau 100 tahun lagi untuk merealisasikannya. Dengan cara ini, pastinya kita akan sentiasa berada di hadapan keluk atau “ahead of the curve” aspirasi dan harapan stakeholders kita serta aspirasi dan harapan sendiri.

Asas utama kepada Program Transformasi Ekonomi yang sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan pada masa ini, ialah sebuah sektor swasta yang cergas bagi menarik lebih banyak pelaburan, mewujudkan pekerjaan nilai tinggi, dan menempatkan Malaysia, negara kita di pasaran global untuk memacu pertumbuhan pendapatan tinggi yang berkekalan. Bagi menjayakan ini sokongan daripada sektor awam yang juga berprestasi tinggi adalah amat penting. Mari kita sama-sama fikirkan apakah ciri-ciri yang perlu ada di dalam sektor awam yang berprestasi tinggi? Pastinya yang paling utama adalah integriti; disiplin yang tinggi; bersih – bukan dari aspek fizikal sahaja, malah lebih penting termasuk juga tatalaku; berani; dan kompeten.

Pada hari Sabtu dan Ahad lepas, saya menerima delegasi dari Singapura sempena Malaysia-Singapore Joint Seminar and Civil Service Games. Rata-rata umur Setiausaha Tetap mereka, iaitu setara dengan Ketua Setiausaha Kementerian-Kementerian kita, adalah di dalam lingkungan umur empat puluhan sahaja. Umur rakan sejawat saya, iaitu Peter Ong, Head of Civil Service of Singapore adalah 50 tahun sahaja. Dan beliau telah menjadi Setiausaha Tetap selama lebih 10 tahun. Isu penting yang saya mahu utarakan bukanlah umur. Banyak diperkatakan akan kecekapan perkhidmatan awam Singapura. Malah diperkatakan seantero dunia bahawa pembangunan dan kemajuan Singapura hari ini disumbangkan sebahagian besarnya oleh perkhidmatan awamnya. Juga saya yakin dan percaya, yang juga diakui oleh pelbagai pihak akan sumbangan besar perkhidmatan awam kita terhadap kemajuan negara kita.

Namun demikian, mari kita cabar status quo – bagaimana kita boleh lakukan lebih baik dari sekarang, lebih baik dari masa lepas, lebih baik dari masa kegemilangan kita. Bagaimana kita boleh lakukan lebih baik dari rakan-rakan kita di Singapura. Malah, kita berusaha lakukan yang lebih baik daripada apa rakan-rakan di Singapura lakukan, supaya perkhidmatan awam kita pula menjadi bench mark bagi Singapura dan juga benchmark bagi negara-negara lain yang lebih maju di kala ini. Sering kali kita mendengar ungkapan, “input determines output and eventually outcome” ataupun “What you put into something is what you will get out of it”.

‘Have a little faith’
Begitu juga, kemasukan pegawai-pegawai yang berkualiti dan berprestasi tinggi, pastinya akan memastikan perkhidmatan awam yang turut berkualiti. Proses pemilihan pegawai-pegawai untuk berkhidmat ke dalam Perkhidmatan Awam hendaklah stringent agar mereka yang terpilih adalah betul-betul yang akan membanggakan perkhidmatan awam, tetapi lebih penting dibanggakan oleh negara kita. Pastinya pemilihan hendaklah berdasarkan merit, mereka yang mempunyai pengetahuan dan ada kemahiran, berketerampilan dan sikap yang sesuai. Ini kerana pegawai-pegawai yang dipilih pada hari ini adalah penentu hala tuju perkhidmatan awam kita, hatta negara kita dalam tempoh 30 tahun atau lebih yang akan datang.

Maka, kita semua yang berperanan mencorak masa hadapan perlu menghayati Leonardo Da Vinci dan Jules Verne, betapa pentingnya kita perlu mengunjur atau project the scenario perkhidmatan awam di tahun-tahun mendatang, tetapi lebih baik dari Leornardo Da Vinci tidak perlu menunggu beratus-ratus tahun untuk dinikmati, kita alami penambahbaikan itu di hari ini juga.

Saya amat tertarik dengan sebuah cerita “Have a Little Faith” oleh Mitch Albom. Ia mengisahkan perihal seorang pemuda mencari pekerjaan di sebuah ladang. Beliau memberikan surat sokongan kepada bakal majikannya. Di dalam surat sokongan tersebut hanya tertulis, “Dia tidur di dalam ribut”. Memandangkan beliau sangat memerlukan seorang pembantu, pemilik ladang tersebut terus mengambil pekerja itu bekerja di ladangnya. Beberapa minggu berlalu, dan pada suatu malam, ribut yang kuat datang melanda. Terkejut dengan bunyi hujan lebat serta angin yang kuat, pemilik ladang melompat keluar dari bilik tidurnya dan menjerit memanggil pemuda yang baru diupahnya beberapa minggu yang lalu, tetapi pemuda tersebut sedang tidur dengan nyenyaknya. He slept through the storm. Pemilik ladang terus berlari ke bangsal, tetapi dengan penuh hairan melihat semua haiwan peliharaan telah dikurung dengan selamat serta mempunyai makanan yang banyak. Pemilik ladang kemudiannya berlari ke ladang, dan melihat ikatan gandum yang dibalut kemas dengan kain tarpaulin serta tersusun yang amat rapinya. Beliau seterusnya ke tempat simpan makanan, didapati pintu terkunci rapat dan bijirin dalam keadaan kering dan tersimpan dengan baik. Barulah pemilik ladang tadi memahami maksud “Dia tidur di dalam ribut” atau “He sleeps in a storm”. Pada saya mesejnya amatlah mudah tetapi penting.

Ciri-ciri yang terdapat pada pemuda tadi lah yang kita inginkan sebagai pewaris perkhidmatan awam negara kita.

Tekankan aspek punishment
Seorang yang cekap dan berpengetahuan serta tahu apa yang perlu dilaksanakan. Dalam apa jua keadaan pekerja yang hebat boleh “tidur dengan nyenyak” kerana telah bersiap sedia terlebih dahulu bagi menghadapi apa jua kemungkinan. Tetapi yang lebih penting, kita yang memilih, mendidik dan mengasuh pekerja-pekerja untuk negara kita, kita akan dapat tidur dengan nyenyak dan lenanya kerana mendapat pekerja-pekerja yang boleh tidur dengan nyenyaknya. Sebelum mengakhiri ucapan, ingin saya tegaskan bahawa pengurusan modal insan yang efektif tidak tertumpu kepada aspek reward semata-mata. Aspek punishment perlu juga ditekankan, khususnya bagi anggota-anggota yang melakukan kesalahan serta menyalahi peraturan dan undang-undang sedia ada. Pada masa yang sama, ia akan juga memberi pengajaran serta iktibar kepada anggota lain agar tidak melakukan kesalahan yang boleh menjejaskan integriti serta kredibiliti perkhidmatan kita.

Dalam hubungan yang sama, perlu diwujudkan exit policy yang jelas bagi anggota-anggota yang bermasalah, yang tidak berdisiplin, mahupun mereka yang tidak menunjukkan prestasi perkhidmatan yang sepatutnya. Perkara mengenai exit policy ini telah saya bangkitkan di dalam persidangan yang sama pada tahun 2007, namun demikian pelaksanaannya mungkin boleh diperbaiki lagi.

Mungkin aspek ini perlu dikaji untuk dimantapkan lagi pelaksanaannya, mahupun mendapatkan kaedah yang terbaik bagi “melepaskan” anggota-anggota yang bermasalah dari terus berkhidmat di dalam perkhidmatan awam.

Namun demikian, sebarang tindakan yang diambil hendaklah telus dan adil bagi mengelakkan sebarang penganiayaan.



NOTA: Tan Sri Sidek Hassan adalah Ketua Setiausaha Negara. Ini adalah ringkasan ucapan beliau pada majlis penutup persidangan Suruhanjaya-Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia.

Tiada ulasan: