26 Mac 2013 : Jabatan Mineral Dan Geosains Kelantan telah dipanggil untuk membantu Jabatan Bomba Dan Penyelamat Kelantan bagi membekalkan air daripada telaga tiub dalam usaha memadamkan kebakaran tanah gambut di Kg. Beris Lalang, Bachok, Kelantan.
Kebakaran tanah gambut di kawasan ini adalah menjadi satu fenomena biasa terutamanya di musim kemarau. Pada musim panas dan kering, air takungan seperti air parit, taliair dan telaga cetek akan mengalami kekeringan dan bahan gambut yang terdiri daripada enapan Kuaterner sangat mudah terbakar disebabkan faktor geologinya yang terdiri daripada endapan bahan karbon/organik yang terurai dan lembut serta masih belum mengalami proses pembatuan. Kebakaran tanah gambut biasanya sangat sukar dipadamkan disebabkan pembakarannya melalui lapisan bawah permukaan dan sukar dilihat di atas permukaan kecuali terdapat asap yang terlepas keluar melalui celah dan retakan tanah. Keadaan ini sangat merbahaya dan boleh merosakkan kawasan yang luas dan memakan masa untuk mengawal dan memadamkannya.
Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia cawangan Negeri Kelantan melalui Unit Geosains telah dipanggil untuk membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan untuk sama-sama bergandingan bagi melawan kebakaran di kawasan ini yang telah memusnahkan tanaman dan kebun serta kediaman penduduk di sini. Kebakaran tersebut melibatkan kawasan hampir 100 hektar memberikan impak yang agak besar dan mengambil masa untuk dipadamkan sepenuhnya. Kakitangan JMG yang terlibat hanya dengan membuat pangkalan sementara (bes kem) iaitu di Kg. Kual Kecil. Telaga yang digunakan adalah sedalam 59 meter bertempat di Kg. Kual Kecil, Gunong, Bachok, Kelantan. Pam yang digunakan adalah daripada jenis Submersible Borehole Pump SP30 yang dijanakan daripada GEN SET: New 'DENYO' Soundproof Diesel Generator Set. Proses pengepaman dijalankan selama 9 hari (27 Mac hingga 4 April 2013) dan melibatkan luahan air sebanyak 42 hingga 70 m3/jam. Jumlah luahan air keseluruhan adalah sebanyak kira-kira 9,000 hingga 15,000 meter3 (sebagai bandingan kira-kira 3.6 hingga 6 kali isian air kolam renang saiz standard olimpik 2,500 m3)
Akhirnya keseluruhan kebakaran telah dapat dipadamkan dan kakitangan yang terlibat kembali bertugas semula di pejabat dan menunggu arahan bertugas seterusnya. Pengalaman, sokongan dan kebajikan oleh kakitangan yang terlibat diucapkan terima kasih serta diharapkan mendapat pahala dan rahmat yang setimpal daripada Allah. Pemantauan kes kebakaran kawasan gambut perlu ditingkatkan dan keperihatinan serta kesedaran penduduk di kawasan ini sangat diperlukan untuk tidak melakukan pembakaran terbuka. Sementara pengurusan tanah di kawasan ini dicadangkan menyediakan sistem perparitan berair jenis selari supaya kebakaran dapat dihad di dalam satu-satu kawasan kecil sahaja dan dapat mencegah secara lebih sistematik di masa akan datang. Sekian.
|
Peninggalan tapak kediaman akibat kebakaran |
|
Kesan peninggalan akibat kebakaran |
|
Keadaan tempat kejadian |
|
Kakitangan JMG sedang menjalankan kerja-kerja pengepaman air |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan