Soalan: Adakah puasa difardhukan ke atas umat yang dahulu. Kalau difardhukan ke atas mereka, pada bulan apakah diwajibkan berpuasa.
Jawapan: Puasa telah difardhukan ke atas umat dahulu dalam bulan Ramadhan sebagaimana difardhukan ke atas umat Nabi Muhammad SAW.
Soalan: Bagaimana hendak diketahui awal Ramadhan
Jawapan: Diketahui Ramadhan dengan cukup Syaaban 30 hari atau dengan nampak anak bulan Ramadhan pada malam 30 syaaban atau dengan perisytiharan pihak Kerajaan.
Soalan: Bilakah yang dikatakan Hari Syak
Jawapan: Hari Syak ialah hari 30 syaaban dengan
syarat:
Pada malam 30 Syaaban itu cuaca terang
Orang fasik mengatakan dia nampak anak bulan.
Soalan: Adakah harus berpuasa di Hari Syak
Jawapan: Mengikut pendapat yang kuat tidak harus berpuasa di hari tersebut kecuali puasa qada' dan nazar. Bagi mereka yang sentiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis maka harus baginya berpuasa.
Soalan: Bagaimana hendak diketahui awal Syawal.
Jawapan: Untuk mengetahui awal Syawal sama seperti awal Ramadhan (sila rujuk soalan nombor 2).
Soalan: Bolehkah kita berpuasa dan berhari raya mengikut negeri Mekah dan negeri yang berdekatan, kerana mereka nampak anak bulan.
Jawapan: Tidak harus ikut berpuasa kecuali negeri-negeri itu berada dalam satu matla'
Soalan: Saya berpuasa di Mekah lebih awal satu hari dari mereka berpuasa di Malaysia. Apabila saya balik, puasa saya sudah cukup 30 hari dan orang Malaysia masih berpuasa lagi. Adakah boleh saya berbuka dan berhari raya.
Jawapan: Mengikut khaul yang lebih betul tidak boleh berbuka dan berhari raya, hendaklah tunggu bersama berbuka dan berhari raya dengan penduduk Malaysia.
Soalan: Kalau kita ke tempat yang lebih awal berpuasa mereka berhari raya kita belum cukup lagi puasa. Adakah boleh berbuka.
Jawapan: Wajib berbuka puasa dan berhari raya mengikut negeri berkenaan. Bagi mereka yang tidak cukup puasanya sebanyak 29 hari maka wajib mengqada'kannya.
Soalan: Bagaimana cara sembahyang dan berpuasa bagi negeri yang tidak ada siang dan malam.
Jawapan: Mereka hendaklah berpuasa dan bersembahyang mengikut negeri yang berhampiran dengannya, yang mempunyai lima waktu sembahyang ataupun mengikut waktu Mekah.
Soalan: Apakah hukum orang tua yang tidak boleh berpuasa kerana tua atau orang tidak terdaya berpuasa kerana sakit berpanjangan.
Jawapan: Boleh berbuka puasa dan hendaklah memberi fidyah secupak beras (675 gram); bagi setiap hari yang ditinggalkan dan tidak dikena qada' ke atasnya.
Soalan: Adakah boleh berbuka puasa bagi mereka yang lapar dan dahaga kerana bekerja dan digantikan dengan beras sebagaimana dibenarkan kepada orang tua.
Jawapan: Tidak harus berbuka puasa bagi mereka yang lapar dan dahaga kerana bekerja.
Soalan: Bagaimanakah lafaz niat puasa, adakah wajib berniat dengan fardhu Ramadhan atau puasa Ramadhan sahaja.
Jawapan: Sebaik-baik niat dengan mengingat "Aku berpuasa esok hari kerana menunaikan fardhu Ramadhan". Walau bagaimanapun sah dengan niat, aku puasa Ramadan sahaja.
Mengikut mazhab Maliki boleh berniat pada malam pertama dengan berniat sebulan bulan Ramadhan, dan harus bagi orang-orang yang bermazhab Syafie bertaqlid kepada mazhab Maliki berniat pada malam pertama sebulan Ramadhan. Bagi puasa sunat harus berniat pada siang hari sebelum tergelincir matahari.
Soalan: Pada malam Hari Syak seseorang bemiat puasa "sekiranya esok 1 Ramadhan aku berpuasa. Adakah sah puasa tersebut, sekiranya esok jatuh 1 Ramadhan".
Jawapan: Tidak sah puasa kerana di antara syarat sah puasa ialah dengan niat yakin dan tepat.
Soalan: Adakah sah puasa seorang yang dalam haid dan nifas berniat puasa Ramadhan pada malam hari pada kebiasaannya haid dan nifasnya suci sebelum Subuh pada hari tersebut.
Jawapan: Sah niatnya sekiranya suci/nifasnya sebelum fajar.
Soalan: Adakah sah puasa seseorang yang syak niatnya di waktu malam.
Jawapan: Tidak sah kecuali dia teringat yang dia berniat puasa pada malam tersebut, sebelum maghrib.
Soalan: Adakah sah seorang yang syak niat puasanya pada hari tersebut selepas berbuka.
Jawapan: Sah puasa tersebut.
Soalan: Seseorang yang berniat puasa pada malam hari kemudian dia membatalkan niatnya sebelum fajar. Adakah sah puasanya pada hari esok.
Jawapan: Tidak sah.
Soalan: Adakah sah puasa seseorang yang berbuka dengan tidak yakin/berat sangka sudah masuk waktu
Jawapan: Tidak sah.
Soalan: Adakah sah puasa bagi orang yang tidak mandi hadas besar.
Jawapan: Sah puasa.
Soalan: Adakah batal puasa bagi orang yang berpuasa memasukkan ubat ke dalam matanya.
Jawapan: Sah puasanya kerana mata itu bukan anggota rongga walaupun terasa di tekak.
Soalan: Adakah batal puasa seseorang yang berpuasa menyuntik dengan ubat yang mengenyangkan.
Jawapan: Batal puasa.
Soalan: Adakah batal puasa apabila termasuk air ke dalam rongga ketika berkumur-kumur di masa wuduk.
Jawapan: Tidak batal puasa kecuali melampaui batas ataupun melebihi tiga kali (kali ke empat).
Soalan: Orang yang berpuasa merasai tersangat dahaga kemudian memasukkan air batu ke dalam mulutnya untuk mengurangkan dahaga lalu tertelan. Adakah batal puasanya
Jawapan: Tidak batal puasa.
Soalan: Adakah batal puasa bagi orang gila sekejap.
Jawapan: Batal puasa.
Soalan: Adakah sah puasa bagi orang yang pitam
Jawapan: Sah puasa kecuali pitam yang sepanjang hari iaitu terbit fajar hingga terbenam matahari.
Soalan: Adakah sah puasa bagi mereka yang tertidur semasa sahur sehingga waktu maghrib
Jawapan: Sah puasa.
Soalan: Adakah wajib kifarat bagi orang bermukim bersetubuh selepas membatalkan puasa atau orang musafir berbuka puasa dengan bersetubuh
Jawapan: Tidak wajib membayar kifarat bagi orang bersetubuh begitu juga bagi orang musafir yang berbuka puasa dengan bersetubuh.
Soalan: Apakah kifarat bersetubuh dengan sengaja pada bulan puasa
Jawapan: Kifarat bersetubuh hendaklah memerdekakan seorang hamba Islam yang sempurna dari kecacatan, kalau tidak berkuasa hendaklah berpuasa 2 bulan berturut-turut, jika tidak berkuasa hendaklah beri makan kepada 60 orang miskin setiap seorang secupak. Cara membayar kifarat ini hendaklah mengikut tertib seperti di atas.
Soalan: Kalau seseorang membatalkan puasanya dengan bersetubuh kemudian mati sebelum maghrib. Apakah hukumnya?
Jawapan: Hukumnya adalah berdosa dan tidak dikenakan kifarat ke atasnya dan keluarganya.
Soalan: Kifarat bersetubuh dikenakan kepada siapa (suamil isteri)
Jawapan: Kifarat bersetubuh dikenakan ke atas suami sahaja.
Soalan: Adakah batal puasa seseorang yang terkeluar mani dengan sebab khayalan
Jawapan: Sekiranya bila dia berkhayal biasa keluar mani maka batal puasanya, kalau biasanya dia berkhayal tidak keluar mani maka tidak batal puasanya.
Soalan: Adakah boleh diqada' sembahyang atau diberi fidyah kepada si mati yang tak bersembahyang
Jawapan: Yang muktamad tidak boleh diqada' dan tidak boleh diberi fidyah tetapi Imam Subki dari Ulama' yang bermazhab dengan Mazhab Syafie mengatakan boleh diqada' dan mengikut Mazhab Abu Hanifah boleh diberi fidyah sebagaimana fidyah mereka yang meninggalkan puasa, kita boleh bertaalik kepada dua pendapat tadi.
Soalan: Adakah wajib berimsak dari perkara-perkara yang membatalkan puasa, beberapa minit sebelum subuh
Jawapan: Tidak wajib berimsak tetapi adalah sunat menjauhi dari makan/minum dan lainnya sekadar baca surah Mursolat sebelum Subuh lebih kurang dalam enam minit.
Soalan: Orang yang tidak berpuasa kerana tidak berniat malam dan orang yang membatalkan puasanya, adakah boleh makan/minum dan lainnya
Jawapan: Wajib mereka berimsak iaitu menahan diri dari makan minum dan perbuatan yang membatal puasa, walaupun mereka tidak berpuasa.
Soalan: Apakah hukum yang dikenakan kerana berzina atau wathisubhah pada bulan puasa
Jawapan: Hukumnya batal puasa dan dikenakan kifarat ke atas kedua-duanya sekali (lelaki dan perempuan).
Soalan: Seorang perempuan putus haid di siang hari adakah wajib dia berimsak
Jawapan: Sunat berimsak.
Soalan: Sekiranya seseorang yang membatalkan puasa nazar/qada' adakah wajib dia berimsak
Jawapan: Tidak wajib berimsak.
Soalan: Adakah wajib imsak bagi orang musafir yang berbuka puasa apabila sampai ke tempat tinggalnya (bermastautin/bermukim)
Jawapan: Mengikut khaul yang lebih betul tidak wajib berimsak.
Soalan: Adakah perempuan yang haid wajib berimsak
Jawapan: Perempuan yang haid haram berimsak sebagaimana dia haram bersembahyang.
Soalan: Kanak-kanak yang tidak berpuasa dan baligh di siang hari, adakah wajib berimsak dan qada' puasanya
Jawapan: Tidak wajib berimsak dan tidak wajib qada'.
Soalan: Seseorang yang keluar dari kampungnya setelah fajar kerana musafir, adakah harus bagi mereka berbuka puasa
Jawapan: Tidak harus berbuka bahkan wajib disempurnakan puasanya.
Soalan: Adakah sunat berniat puasa beserta dengan lafaz
Jawapan: Sunat.
Soalan: Seseorang yang telah menyediakan makanan untuk makan sahur, kemudian dia terjaga selepas fajar, adakah sah puasanya pada hari itu
Jawapan: Sah puasa dengan penyediaan sahurnya kerana penyediaan sahur itu dianggap sebagai telah berniat.
Soalan: Adakah sah puasa orang yang berbuka dengan syak masuk waktu maghrib
Jawapan: Tidak sah puasanya.
Soalan: Adakah sah puasa orang yang bersahur yang berat sangkanya, masuk waktu Subuh
Jawapan: Sah puasanya selagi dia tidak yakin masuk waktu Subuh dan sekiranya yakin, tidak sah puasanya dan diwajibkan qada'.
Soalan: Adakah sah puasa seseorang yang biasanya apabila melihat bangkai dia muntah, tetapi sengaja dilihatnya
Jawapan: Tidak sah puasanya tetapi sekiranya tidak sengaja maka tidak batal puasanya.
Soalan: Apakah hukum menggosok gigi di bulan puasa
Jawapan: Hukumnya sunat dia menggosok gigi sebelum gelincir matahari dan makruh selepas gelincir matahari.
Soalan: Adakah batal puasa termuntah dengan sebab menggosok gigi
Jawapan: Tidak batal kecuali mereka yang biasanya muntah apabila mengggosok gigi dan sengaja dia meggosoknya.
Soalan: Apakah hukum cabut gigi, berbekam dan berpatik semasa berpuasa
Jawapan: Hukumnya makruh.
Soalan: Apakah hukumnya seseorang yang tidak dapat berpuasa pada bulan Ramadhan kerana sakit yang berkekalan dan mati selepasnya
Jawapan: Tidak ada apa hukum ke atasnya dan begitu juga warisnya.
Soalan: Seseorang yang meningal dunia, puasanya sudah diqada' tetapi fidyahnya belum dibayar lagi. Adakah fidyahnya bertambah
Jawapan: Fidyahnya tidak bertambah.
Soalan: Seseorang yang terdengar azan Subuh ketika dia sedang bersahur, adakah sah puasanya
Jawapan: Sah puasanya dan hendaklah berhenti makan serta merta dan terus buang makanan yang ada di dalam mulutnya.
Soalan: Orang yang bersahur dengan niat untuk menguatkan puasa, adakah sah niat tersebut?
Jawapan: Tidak sah.
Soalan: Seseorang yang syak masuk waktu Subuh kemudian dia bersetubuh meninggalkan bersahur kerana bimbangkan luput waktunya, adakah sah puasanya
Jawapan: Sah puasanya kalau dia berniat puasa pada malam itu.
Soalan: Seseorang yang terkeluar sesuatu dari tekaknya kemudian dia menelannya, adakah batal puasanya
Jawapan: Batal puasanya.
Soalan: Air liur yang terkumpul di dalam mulutnya kemudian ditelan, adakah batal puasanya
Jawapan: Tidak batal puasanya kerana air liur datang dari mulut tidak datang dari rongganya.
Soalan: Air liur yang bercampur dengan sesuatu yang lain seperti darah atau makanan kemudian ditelan, adakah batal puasa
Jawapan: Batal puasanya.
Soalan: Apakah hukum orang yang berpuasa yang makan dengan terlupa kemudian teringat kembali yang dia berpuasa
Jawapan: Sah puasanya kerana itu adalah rezeki daripada Allah. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud "Sesiapa yang makan atau minum dengan keadaan terlupa maka jangan berbuka puasa maka sesungguhnya itu adalah rezeki yang diberi oleh Allah s.w.t kepadanya".
Soalan: Adakah sah niat puasa di malam 30 Syaaban sedangkan hatinya tidak berat sangka bahawa esoknya masuk Ramadhan
Jawapan: Tidak sah niat tersebut.
Soalan: Adakah boleh orang yang berpuasa menggunakan contact lens
Jawapan: Boleh.
Soalan: Adakah wajib berimsak ke atas kanak-kanak yang baligh dan sedang berpuasa
Jawapan: Wajib berimsak ke atasnya.
Soalan: Orang yang berpuasa nazar kemudian dia berbuka puasanya. Adakah wajib dia berimsak selepas dia berbuka
Jawapan: Tidak wajib kecuali puasa pada bulan Ramadhan.
Soalan: Orang yang berpuasa yang melakukan 2 kali persetubuhan dalam satu hari. Adakah dikenakan 2 kifarat
Jawapan: Dikenakan satu kifarat sahaja.
Soalan: Apakah hukumnya bagi perempuan yang mengandung atau perempuan yang menyusukan anak membatalkan puasanya
Jawapan: Harus membatalkan puasa tersebut dengan dua sebab:
a. Kerana keuzuran dirinya sendiri.
b. Kerana menjaga kesihatan anak.
Keterangan:
a. Kalau berbuka puasa kerana menjaga kesihatan dirinya wajib qada' sahaja.
b. Kalau berbuka puasa kerana mahu menjaga kesihatan anak bukan dirinya, wajib qada'dan fidyah sekadar 1 cupak beras untuk sehari.
c. Kalau berbuka puasa kerana menjaga diri dan anak wajib qada' sahaja.
Soalan:Adakah wajib qada' puasa yang ditinggalkan semasa dia gila
Jawapan: Tidak wajib qada' puasa tersebut.
Soalan: Seseorang yang mati dan meninggalkan puasa tetapi walinya tidak membayarkan fidyah sehingga Ramadhan yang kedua. Adakah digandakan fidyahnya
Jawapan: Tidak digandakan fidyahnya. Ada pendapat mengatakan dikenakan dua cupak bagi setiap hari, satu cupak kerana tidak berpuasa dan satu cupak lagi kerana menangguhkan fidyah.
Soalan: Apakah hukum seseorang yang mati yang belum sempat menunaikan puasa nazar
Jawapan:
a. Mengikut Qaul Jadid hendaklah wali memberi secupak beras sehari.
b. Mengikut Qaul Qadim wali boleh memberi secupak beras sehari atau menggantikan puasa.
Soalan: Adakah harus qada' puasa kepada simati yang meninggalkan puasanya sebulan dengan diqada'kan puasanya oleh 30 orang selama satu hari
Jawapan: Harus dan Sah.
Soalan: Orang yang tidak berdaya puasa bolehkah diqada'kan puasa untuknya
Jawapan: Tidak boleh diqada'kan puasa kepada orang yang masih hidup.
Soalan: Bolehkan dibayar fidyah 10 cupak kepada 1 orang atau mesti diberi secupak seorang untuk 10 orang
Jawapan: Boleh diberi kepada satu orang atau sepuluh orang.
Soalan: Adakah sah bernazar puasa selama 1 tahun
Jawapan: Sah nazar tersebut dan hendaklah berpuasa selama tempoh tersebut termasuk dalamnya hari Tahrim (2 hari raya), tiga hari tasyrik, l bulan puasa Ramadhan dan puasa qada'.
Soalan: Apakah hukum seorang isteri bernazar untuk puasa setahun dan dilarang oleh suami
Jawapan: Wajib berbuka dan tidak dikenakan fidyah dan qada' kerana dikira uzur.
Soalan: Adakah sah puasa sunat seorang perempuan yang dilarang oleh suaminya
Jawapan: Sah puasa tetapi berdosa.
Soalan: Adakah wajib qada' bagi seseorang yang membatalkan puasa sunatnya
Jawapan: Tidak wajib qada' pada mazhab Abu Hanifah.
Soalan: Bolehkah membatalkan haji sunat atau umrah sunat
Jawapan: Tidak boleh kalau terbatal wajib Qada'. Catatan: Masalah ini berbeza dengan puasa sunat kerana puasa sunat boleh dibatalkan tanpa qada'.
Soalan: Adakah sah berpuasa pada hari-hari Tahrim
Jawapan: Tidak sah dan haram berpuasa.
Soalan: Apakah hukum bersahur
Jawapan: Hukumnya sunat.
Soalan: Apakah hukum puasa sunat pada hari jumaat saja
Jawapan: Makruh berpuasa kecuali pada hari jumaat itu jatuh 10 Muharram.
Soalan: Apakah hukum meneruskan puasa 2 hari berturut-turut atau lebih dengan tidak berbuka
Jawapan: Haram berpuasa dengan tidak berbuka.
Soalan: Adakah sah berpuasa dengan tidak berbuka
Jawapan: Sah puasa
Soalan: Seorang yang uzur tidak dapat berpuasa hingga ke tahun berikutnya. Adakah wajib fidyah ke atasnya kerana terlewat qada'
Jawapan: Tidak wajib fidyah ke atasnya wajib qada' sahaja ke atasnya.
Soalan: Adakah pahala membaca AI-Quran dan bersedekah di bulan Ramadhan berganda dari bulan-bulan yang lain
Jawapan: Pahala membaca AI-Quran dan bersedekah dibulan Ramadhan adalah berganda.
Soalan: Bolehkah isteri membayar fidyah puasa suami yang telah meninggal dunia
Jawapan: Harus isteri membayar fidyah puasa suaminya yang telah meninggal tetapi yang terutamanya ialah anak-anaknya kerana anak-anaknya yang menerima asabah daripada pusakanya. Ini berpandu kepada Imam as-Subki yang telah memfidyahkan puasa keluarganya yang telah meninggal dunia.
Soalan: Hukum puasa orang yang terkentut dalam air
Jawapan: Puasanya sah kerana terkentut dalam air tidak membatalkan puasa.
Soalan: Apakah hukum perempuan hamil berbuka puasa kerana takut menjejaskan kesihatan kandungannya
Jawapan: Hukumnya harus
Soalan: Hukum mencantumkan puasa qadha' dengan puasa sunat
Jawapan: Hukumnya harus bahkan setengah ulama' mengatakan sunat.
Soalan: Hukum berniat puasa qadha' pada waktu pagi siang hari dan bagaimana niatnya
Jawapan: Hukumnya tidak sah kecuali puasa sunat.
Soalan: Apakah hukum meninggalkan puasa kerana bersalin
Jawapan: Hukumnya wajib, jika perempuan yang bersalin itu ada darah nifas dan wajib qadha' pada bulan-bulan yang lain tetapi sekiranya perempuan yang bersalin itu tiada darah nifas maka harus dia meninggalkan puasa kerana menjaga kesihatannya dan wajib qadha' pada bulan-bulan yang lain.
Soalan: Bolehkah fidyah puasa dibuat jamuan kepada fakir miskin?
Jawapan: Tak boleh fidyah puasa dengan duit. Mengikut Mazhab Shafie fidyah puasa hendaklah dengan dikeluarkan beras secupak pada satu puasa dan tidak boleh ditukarkan kepada yang lain. Oleh itu hendaklah diberi beras, jangan ditukar kepada yang lain atau makanan supaya hak orang miskin ini tidak dapat diguna oleh orang-orang yang tidak berhak.
Soalan: Bolehkah berpuasa pada hari Arafah yang jatuh di hari Jumaat?
Jawapan: Sunat berpuasa di hari arafah walaupun berlaku hari Jumaat. Yang makruh berpuasa di hari Jumaat ialah semata-mata melakukan puasa sunat.
Soalan: Saya mahu qada' puasa di hari ini tetapi saya tertidur semalaman. Adakah boleh saya berniat di siang hari?
Jawapan: Tidak boleh, kerana niat puasa qada' dan nazar itu wajib dan niat puasa qada' dan nazar adalah di malam hari. Tidak sah selepas Subuh dan boleh berniat di siang hari hanya untuk puasa sunat sahaja.
Soalan: Apabila seseorang qadal puasa kemudian dia membatalkan puasanya dengan sebab kawan mengajak makan. Adakah dengan sebab yang demikian digandakan dua hari untuk puasa qadalnya?
Jawapan: Wajib dia puasa yang dibatalkan itu sahaja dan haram membatalkan puasanya.
Soalan: Adakah boleh qada' puasa pada 13 Zulhijjah?
Jawapan: Tidak boleh kerana 13 Zulhijjah dilarang berpuasa.
Soalan: Saya mahu Puasa qada' selama 10 hari. Adakah boleh saya berniat puasa di malam pertama puasa?
Jawapan: Tidak harus kerana sepuluh puasa qada' itu adalah puasa yang berlainan seperti orang tinggal sepuluh kali pada sembahyang Subuh. Maka sepuluh Subuh itu adalah lain di antara satu sama lain. Maka hendaklah berniat pada membuat tiap-tiap sembahyang yang sepuluh itu. Begitu juga dengan puasanya.
Soalan: Adakah boleh saya bagi fidyah puasa kepada satu orang?
Jawapan: Boleh.
Soalan: Ibu saya meninggal dunia pada hari yang ke sepuluh Ramadhan kerana sakit dan tidak dapat puasa. Apakah hukumnya?
Jawapan: Tidak dikenakan apa-apa fidyah kerana dengan sebab tidak ada masa untuk dirinya mengqada'kan puasanya.
Soalan: Apakah pada bulan Muharram itu ada hari diharamkan berpuasa?
Jawapan: Tidak ada, harus berpuasa sepanjang bulan.
Soalan: Adakah fidyah puasa boleh diberi kepada anak yatim?
Jawapan: Tidak boleh diberi kepada anak yatim. Yang berhak menerima fidyah puasa ialah kepada fakir miskin.
Soalan: Bolehkah puasa sepanjang tahun selain dari 2 hari raya dan hari-hari tasyrik?
Jawapan: Boleh berpuasa bahkan sunat berpuasa sekiranya kuasa dan tidak terjejas tanggungjawab yang diwajibkan ke atasnya.
Soalan: Kenapakah awal puasa dan hari raya tidak sama di antara negara-negara Islam di dunia.
Jawapan: Awal puasa dan hari raya tidak sama kerana tidak sama matlaknya, tidak boleh disamakan waktu seperti waktu sembahyang contohnya di negara kita sudah masuk waktu Isyak tetapi di Mekah belum Maghrib lagi.
Soalan: Adakah boleh berpuasa sunat di hari Jumaat?
Jawapan: Boleh tetapi makruh puasa hari Jumaat sahaja kecuali dihubungkan dengan hari sebelum atau hari selepas. Sekiranya hari itu jatuh hari sunat berpuasa seperti sepuluh Muharram maka disunat berpuasa.
Soalan: Apakah hukum orang yang berpuasa dan makan kerana terlupa?
Jawapan: Sah puasanya kerana makan dengan tidak sengaja.
Sumber: Berita Harian Online (Dipetik dari laman web Jakim)
17 Julai 2011
07 Julai 2011
Nasihat Rasulullah s.a.w Kepada Ibn 'Abbas r.a
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: «كُنْتُ خَلْفَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْماً, فَقَالَ: يَا غُلاَمُ, إِنّي أُعَلّمُكَ كِلمَاتٍ: إِحْفَظِ الله يَحْفَظْكَ, إِحْفَظِ الله تجِدْهُ تجَاهَكَ, إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ الله, وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بالله, وَاعْلَمْ أَنّ الأُمّةَ لَوِ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلاّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ الله لَكَ, ولو اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرّوكَ إِلاّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ الله عَلَيْكَ, رُفِعَتِ الأَقْلاَمُ وَجَفّتِ الصّحُف». قال: هَذَا حَديثٌ حسنٌ صحيحٌ.
Dari Ibn ‘Abbas r.a , dia berkata, “Suatu hari aku berada di belakang Nabi s.a.w, lalu beliau bersabda, ‘Wahai Ghulam, sesungguhnya ku ingin mengajarkanmu beberapa kalimat (nasihat-nasihat), ‘Jagalah Allah, pasti Allah menjagamu, jagalah Allah, pasti kamu mendapatinya di hadapanmu, bila kamu meminta, maka mintalah kepada Allah dan bila kamu minta tolong, maka minta tolonglah kepada Allah. Ketahuilah, bahwa jikalau ada seluruh umat berkumpul untuk memberikan suatu manfa’at bagimu, maka mereka tidak akan dapat memberikannya kecuali sesuatu yang telah ditakdirkan Allah atasmu, dan jikalau mereka berkumpul untuk merugikanmu (membahayakanmu) dengan sesuatu, maka mereka tidak akan bisa melakukan itu kecuali sesuatu yang telah ditakdirkan Allah atasmu. Pena-pena (pencatat) telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering.” (HR at-Tarmidzi, dia berkata, ‘Hadits Hasan Shahih’. Hadits ini juga diriwayatkan Imam Ahmad)
05 Julai 2011
Taklimat Garis Panduan Zon Keselamatan Batu Kapur
Taklimat Garis Panduan Zon Keselamatan Batu Kapur
Oleh En. Ahmad Rosli Bin Othman (Geologi Kejuruteraan)
Di Bilik Mesyuarat Feldspar, JMG Kelantan
Pada Petang 4 Julai 2011
TAKLIMAT 5S
TAKLIMAT 5S
OLEH HJ. NURZAIDI BIN ABDULLAH (WAKIL PPO)
DI BILIK MESYUARAT FELDSPAR, JMG KELANTAN
PADA 4 JULAI 2011
Langgan:
Catatan (Atom)