free buat blog
JABATAN MINERAL & GEOSAINS KELANTAN, WISMA PERSEKUTUAN, TINGKAT 3, JALAN BAYAM, 15658 KOTA BHARU, KELANTAN TEL:09-7411300 FAX: 09-741308 EMEL: jmgkel@jmg.gov.my

09 Januari 2012

Lawatan ke telaga mengeluarkan gas, Lundang, K.Bharu.

JMG Kelantan telah melakukan satu lawatan tapak ke Kg. Aman, Mukim Lundang, K.Bharu terhadap sebuah telaga yang mengeluarkan gas metana. Lawatan adalah susulan dari laporan akhbar Sinar Harian pada 7 Januari yang melaporkan berlakunya letupan apabila kerja-kerja pengorekkan telaga air di salah sebuah rumah penduduk di kampung tersebut sedang dijalankan apabila mencapai kedalaman 7m. Difahamkan bahawa kerja-kerja pengorekkan telah dilakukan pada 2 Januari lalu di mana satu letupan gas telah berlaku dan masih mengeluarkan gas sehingga 6 Januari.


Hasil dari penelitian sampel lubang telaga, didapati bahawa pada kedalaman 1-4 meter, sampel adalah terdiri daripada lapisan lumpur (clay), 4-7 meter lapisan lumpur berkarbon dan lapisan berpasir pada kedalaman 7m. Pereputan bahan organik telah menyumbang terhadap penghasilan gas metana yang terperangkap di bawah lapisan lumpur. Gas tersebut terkumpul dalam poket-poket kecil di dalam lapisan pasir dan mempunyai tekanan tinggi. Apabila poket tersebut ditebuk, gas tersebut dibebaskan bersama-sama pasir (sehingga 5 m ke udara). Poket bergas tersebut adalah bersifat tempatan. Gas metana akan habis dengan sendirinya apabila kesemua gas dibebaskan (selalunya sehingga 2-4 hari). Kejadian ini biasa berlaku di kawasan enapan lanar seperti Kota Bharu dan Pasir Mas yang berada dalam Formasi Simpang. Enapan lanar yang terbentuk sejak Awal hingga Tengah Plieostocene (2-1.6 juta tahun lampau) telah mengenapkan sedimen lumpur dan pasir bersama-sama serpihan tumbuhan-tumbuhan di persekitaran daratan berhampiran delta sungai yang tidak dipengaruhi oleh pasang surut air laut.

Kejadian yang sama pernah berlaku di Kg. Kubang Chetok, Pasir Mas pada tahun 2004 dan di Kg. Simpol, Pasir Mas pada tahun 2006. Terdapat juga kejadian yang sama berlaku di Kg. Macang, Terengganu baru-baru ini.