free buat blog
JABATAN MINERAL & GEOSAINS KELANTAN, WISMA PERSEKUTUAN, TINGKAT 3, JALAN BAYAM, 15658 KOTA BHARU, KELANTAN TEL:09-7411300 FAX: 09-741308 EMEL: jmgkel@jmg.gov.my

24 November 2010

Majlis Pentauliahan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) 2010

6,133 penjawat awam bermasalah

Oleh HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my



PUTRAJAYA 22 Nov. - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenal pasti sejumlah 6,133 penjawat awam bermasalah sepanjang tahun lalu, meningkat lebih 700 orang berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah berkata, ia membabitkan tiga masalah utama iaitu disiplin, prestasi rendah dan kesihatan kronik.
"Selain itu, ia turut membabitkan masalah hubungan interpersonal dan psikologi di kalangan penjawat awam tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pentauliahan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam 2010 di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi JPA, Dr. Aris Kasan. Pada majlis itu, seramai 3,583 orang yang merangkumi 16 kementerian, enam jabatan, lima Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan 11 agensi termasuk badan berkanun serta korporat menerima pentauliahan tersebut. ***

Sehubungan itu, Abu Bakar berkata, Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (Akrab) boleh memainkan peranan yang penting dalam membentuk perkhidmatan awam yang berdisiplin dan berintergriti.

"Rakan pembimbing perlu mempamerkan diri mereka sebagai contoh kepada rakan sekerja yang lain dengan mengamalkan nilai-nilai positif dan menunjukkan tingkah laku yang boleh dicontohi.

"Perlu diingatkan bahawa rakan pembimbing diwujudkan atas semangat 'rakan membantu rakan' dengan memupuk semangat berpasukan, keakraban, keharmonian dan saling menghormati potensi diri masing-masing," katanya.

Dalam ucapan yang sama, beliau mencadangkan agar Bahagian Pengurusan Psikologi mengembangkan lagi peranan Akrab kepada pengamalan Buddy System.

Ini kerana, tambah beliau, sistem itu bukan hanya membantu rakan dalam menangani masalah tertentu tetapi sentiasa mengambil tahu dan mengikuti perkembangan rakan terbabit yang berkaitan dengan pekerjaan dan hal-hal peribadi.

"Ia sejajar dengan fitrah manusia yang sentiasa mahu diri disayangi dan dihargai, justeru konsep ini sememangnya terdapat dalam sistem itu," katanya.



*** TAHNIAH DIUCAPKAN KEPADA WARGA JMG KELANTAN; EN. AB RASHID BIN AHMAD (TIMB. PENGARAH GEOSAINS), PN. AZLIYAH BTE CHE LONG (PEN. PEG. TADBIR) & EN. MUHAMMAD UMAR BIN SARIMAL (KUPM) KERANA BERJAYA DITAULIAHKAN SEBAGAI AHLI AKRAB. TIDAK DILUPAKAN AHLI-AHLI AKRAB DARI JMG NEGERI/JABATAN YANG LAIN. SEMOGA AKRAB JMG KHASNYA DAN NRE AMNYA AKAN LEBIH PERKASA LAGI SELEPAS INI. INSYA-ALLAH!

03 November 2010

Kerja lapangan bersama pelajar UMK



Satu kerja lapangan yang melibatkan pelajar geologi tahun 2 Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah diadakan disekitar kawasan Aring dan Kawasan Lojing, Gua Musang pada 22 dan 23 Oktober 2010. Kerja lapangan tersebut telah dianjurkan oleh Fakulti Agro Industri dan Sumber Asli di bawah Program Geosains (FASA) dengan bantuan dari JMG Kelantan, selaras dengan kerjasama antara UMK dan JMG Kelantan. Sebagai maklumat, UMK telah menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Geosains).

Kerja lapangan tersebut telah diatur oleh wakil dari JMG Kelantan iaitu Ahmad Rosli Othman melibatkan 6 hentian, 2 lokasi di Aring dan 4 lokasi di sepanjang jalanraya Lojing-G.Musang. Tujuan kerja lapangan ini adalah untuk memberikan pendedahkan kepada pelajar mengenai jenis-jenis batuan, formasi-formasi batuan dan fosil-fosil yang terkandung dalam batuan. Difahamkan bahawa ini adalah kerja lapangan pertama seumpamanya bagi pelajar tersebut di mana sebelum ini kerja lapangan mereka hanyalah melibatkan lawatan ke muzium-muzium atau lawatan ke IPTA. Oleh itu kerja lapangan ini serba sedikit dapat memberi gambaran mengenai kerja-kerja sebenar ahli geologi di lapangan, tidak hanya menerima sahaja pembelajaran dari kuliah-kuliah yang diadakan di kampus.

Klik sini untuk mendapatkan buku panduan kerja lapangan tersebut.